Ancaman bom di pasar raya disahkan palsu

KLANG - Suasana di sebuah pasar raya di sini gempar susulan ancaman bom menerusi e-mel yang mendakwa bahan letupan diletakkan di premis berkenaan pada Sabtu.
Bagaimanapun, keadaan terkawal selepas pemeriksaan polis selama hampir tiga jam tidak menemukan sebarang bahan letupan atau peranti mencurigakan di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.04 petang.
"Laporan dibuat oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pengurus stor selepas menerima e-mel berhubung dakwaan ancaman bom berkenaan.
"Susulan laporan itu, polis menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi mengesan bahan letupan di lokasi berkenaan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Klang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan
Sehubungan itu, Ramsay menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan e-mel atau sebarang bentuk komunikasi untuk menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menimbulkan ketakutan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-3291 9614 atau balai polis berhampiran.
"Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Fazlan Rezza Mazlan menerusi talian 011-1056 1017," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

