Pendidikan 5.0 perlu seimbang teknologi, nilai

Zahari (empat dari kiri) bersama tetamu kenamaan sempena ICTE 2026 di Kota Bharu.
Zahari (empat dari kiri) bersama tetamu kenamaan sempena ICTE 2026 di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU, 15 Okt. – Kemajuan teknologi dalam pendidikan perlu diseimbangkan dengan penerapan nilai, etika dan kemanusiaan bagi memastikan pembangunan generasi masa hadapan lebih holistik.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz, berkata keseimbangan itu penting bagi membangunkan sistem pendidikan yang mampan dan tidak hanya tertumpu kepada penguasaan digital.

“Apabila kita bergerak menuju Pendidikan 5.0, tumpuan kita tidak boleh terhad kepada kemajuan teknologi semata-mata.

“Teknologi dan inovasi perlu dipandu oleh nilai, etika dan kemanusiaan bagi melahirkan individu yang berkeupayaan intelektual, bertanggungjawab kepada masyarakat serta mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperluas perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik bagi menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.

Perkara itu antara fokus Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kali Ke-4 (ICTE’26) yang berlangsung di Grand Riverview Hotel di sini, pada 14 dan 15 Oktober lalu.

Persidangan bertemakan Transforming Educators for Education 5.0: Bridging Technology, Innovations and Values itu menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 718 kumpulan turut menyertai pertandingan inovasi digital yang mengetengahkan elemen kecerdasan buatan (AI), integriti dan kelestarian dalam pendidikan.

Empat Diamond Award diberikan mengikut kategori Professional Innovator, Ace Innovator, Pioneer Innovator dan Novice Innovator. Fahmi Odeni dari KPTM Alor Setar memenangi kategori Professional Innovator menerusi i-Integriti 2.0.

Artikel Berkaitan:

Rembayung Jawi Pro dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan memenangi kategori Ace Innovator, manakala Muhammad Thaqif Darwisy Izani dari Maahad Sains Tok Guru meraih kategori Pioneer Innovator menerusi AddMathEZ.

HABAGO dari Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat pula memenangi kategori Novice Innovator.

Bagi anugerah khas, Dr. Hanzalah Mohamed Nor dari IPG Kampus Kota Bharu menerima Best Educational Impact Award menerusi HAN’S-CRiTAI, manakala FORMAT’nGo oleh TS Dr. Sabri Ahmad Hisham dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah memenangi Best Technology Integration Award.

TOMA.Ai menerima Best Sustainable Innovation Award, HIJRALLE meraih Most Promising Innovation Award, manakala Light Dependent Safety Power Socket (LD-SPS) memenangi Best Practical Innovation Award.

Dalam kategori penyelidikan, tiga kertas terbaik menerima Gold Award bagi kajian berkaitan motivasi penulisan Bahasa Inggeris, penglibatan industri dalam Sistem Latihan Dual Nasional serta integrasi AI dalam reka bentuk pengajaran Sains.

Kajian berkenaan membabitkan penyelidik dari Malaysia, China dan Indonesia.

Lima penerima turut diiktiraf menerusi Anugerah Poster Terbaik ICTE’26, termasuk wakil KPTM Ipoh, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Universiti Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM Sdn. Bhd., Radzuan Razali, berkata perkongsian ilmu dan pembentukan jaringan kerjasama merupakan antara manfaat utama yang perlu dibawa pulang peserta.

ICTE’26 dianjurkan KPTM Kota Bharu bersama institusi pendidikan di Kelantan dan Terengganu serta rakan kolaborasi tempatan dan antarabangsa.

KPTM Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada 1983 di bawah MARA Corporation Sdn. Bhd., menawarkan 55 program pengajian menerusi tujuh cawangan, termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!