Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan penurunan DXY

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.0830/0800 berbanding dolar AS daripada paras 4.0835/0880 ketika ditutup pada Selasa. Foto hiasan
Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.0830/0800 berbanding dolar AS daripada paras 4.0835/0880 ketika ditutup pada Selasa. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong oleh penurunan Indeks Dolar AS (DXY) ketika para pelabur menilai semula prospek kadar faedah AS susulan petunjuk bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin mengambil pendirian dasar monetari yang kurang agresif.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.0830/0800 berbanding dolar AS daripada paras 4.0835/0880 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, DXY susut 0.40 peratus kepada 102.810 mata selepas Presiden Fed AS New York, John Williams, memberi petunjuk bahawa Kadar Dana Persekutuan mungkin tidak akan dinaikkan pada tahun 2027, memandangkan inflasi dijangka reda secara beransur-ansur ke arah sasaran dua peratus.

"Selain itu, Williams menyatakan bahawa ekonomi AS tidak mengalami pertumbuhan terlalu pantas, oleh itu, ia tidak mewajarkan kenaikan kadar yang agresif," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, angka inflasi AS akan dipantau dengan teliti, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjurkan meningkat kepada 3.6 peratus pada bulan September berbanding 3.4 peratus sebelumnya, berdasarkan anggaran konsensus.

Justeru, beliau berkata, keadaan ini boleh memberi kesan positif kepada ringgit, walaupun sentimen pasaran kekal berhati-hati.

"Sehubungan itu, pertukaran mata wang ringgit-dolar AS mungkin mengekalkan dagangan dalam julat sempit antara RM4.07 hingga RM4.09 pada hari ini," katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5790/5823 daripada 2.5833/5864 ketika ditutup pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.4128/4195 daripada 5.4057/4177 dan susut berbanding euro kepada 4.5734/5790 daripada 4.5654/5704.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1626/1848 daripda 12.1663/1844 ketika ditutup pada Selasa, namun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1903/1950 daripada 3.1902/1940 semalam.

Dalam pada itu, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.1/228.4 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.50/6.51. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!