Polis kesan pemandu, pemilik Toyota Wish terbakar

KUANTAN - Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ditemukan terbalik dan terbakar di Kilometer 26, Jalan Jerantut–Kuala Tahan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof bagaimanapun berkata, tiada mangsa ditemukan di tempat kejadian.
Menurutnya, identiti pemandu dan pemilik kenderaan dipercayai jenis Toyota Wish itu masih belum dikenal pasti.
"Polis menerima laporan berhubung kemalangan jalan raya melibatkan MPV yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik dan terbakar itu kira-kira jam 5.20 pagi.

"Siasatan awal mendapati kenderaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Tahan menuju ke Jerantut itu hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas sebelum terbalik dan terbakar," katanya.
Nor Azman berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti pemandu serta pemilik kenderaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Justeru katanya, pemandu kenderaan berkenaan diminta supaya tampil membuat laporan polis.
"Orang ramai atau saksi yang melihat kejadian juga diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat di talian 016 - 959 1885 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

