Pengunjung maut kemalangan roller coaster di AS

ATLANTA - Seorang pengunjung maut manakala beberapa yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan permainan roller coaster di taman tema Six Flags Over Georgia pada Isnin.
Video yang dikongsikan di platform media sosial menunjukkan penumpang dipindahkan keluar dari permainan Goliath itu. Laman web taman tema berkenaan menyatakan permainan tersebut menjunam dari ketinggian 77 meter dan mencapai kelajuan sehingga 136 kilometer sejam.
Taman tema berkenaan terletak kira-kira 19 kilometer di barat Atlanta, Amerika Syarikat (AS) dan dimiliki oleh Six Flags Entertainment.
“Kami amat berdukacita atas insiden membabitkan pengunjung di taman tema kami hari ini. Ucapan takziah yang tulus kami tujukan kepada keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang mangsa. Kami turut memberikan sokongan kepada pengunjung dan kakitangan yang terjejas,” menurut kenyataan syarikat itu.
Tambahnya, mereka sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Pada bulan lalu, Six Flags mengumumkan penutupan kekal permainan roller coaster X2 di taman tema Magic Mountain di Valencia, California.
Langkah itu dibuat selepas lebih 100 pengunjung mendakwa mengalami kecederaan otak traumatik selepas menaiki roller coaster tersebut. Bagaimanapun, Six Flags menegaskan bahawa permainan X2 berkenaan telah melepasi pelbagai ujian keselamatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

