Penolong pegawai perubatan lemas di Air Terjun Chemerong

DUNGUN - Seorang penolong pegawai perubatan maut dipercayai akibat lemas ketika mandi di Air Terjun Chemerong di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktafi Billah Shah Pegawai Bomba Kanan I Kama Suhaimi Abdullah berkata. Mohd Ikmal Awid, 25, yang bertugas di Hospital Kemaman ditemukan lemas pada kira-kira 12 tengah hari.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 11.46 pagi sebelum anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati mangsa yang berasal dari Kota Belud, Sabah telah ditemukan oleh rakannya.
"Mangsa dikatakan berenang bersama-sama enam rakan sebelum dia dan seorang rakan ditarik arus. Bagaimanapun rakan itu berjaya diselamatkan.
"Kira-kira 15 minit kemudian, rakan-rakannya menyelam semula dan mangsa ditemukan pada 12 tengah hari,” katanya.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
