5 juta rakyat dijangka nikmati manfaat LESTARI MCMC

KUALA LUMPUR - Kira-kira lima juta rakyat dijangka menerima manfaat menerusi pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan bersama pemain industri di bawah LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (Sustainability Framework and Roadmap 2030 – SFR2030), iaitu rangka kerja strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut MCMC, melalui LESTARI, MCMC bersama pemain industri akan menggerakkan tindakan yang memberi impak nyata kepada rakyat dan alam sekitar menjelang 2030.
"Inisiatif ini menyokong peralihan sektor komunikasi dan multimedia ke arah aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, di samping memperkukuh ekonomi kitaran melalui pengurangan sisa elektronik, pemanjangan hayat peranti dan peningkatan akses kepada teknologi yang lebih mampu milik.
"Peranti yang masih boleh digunakan akan dibaik pulih dan digunakan semula, sekali gus membantu mengurangkan kos pemilikan peranti serta memperluas akses kepada teknologi, khususnya bagi golongan rentan dan berpendapatan rendah.
"Menjelang 2030, LESTARI menyasarkan 15 juta peranti diurus secara lestari melalui penggunaan semula, naik taraf atau penggantian kepada teknologi yang lebih cekap, serta kitar semula secara bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menyempurnakan pelancaran LESTARI di ibu negara, yang menetapkan hala tuju kelestarian sektor telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier menuju 2030.

Rangka kerja berkenaan menterjemahkan aspirasi kemampanan negara kepada tindakan di peringkat sektor, selaras dengan Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13, National Energy Transition Roadmap (NETR), komitmen iklim Malaysia serta aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal tahun 2050.
LESTARI dibangunkan bersama industri melalui sesi libat urus yang melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi, sekali gus menyediakan hala tuju bersama bagi menggerakkan agenda kelestarian secara lebih tersusun dan bersepadu berlandaskan tiga teras utama.
Tiga teras utama itu termasuk kelestarian iklim dan alam sekitar yang meliputi kecekapan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, tenaga boleh baharu, ekonomi kitaran dan daya tahan infrastruktur.
Selain itu, ia turut merangkumi impak sosial dan keterangkuman, termasuk keterangkuman, keselamatan, kemahiran dan kesejahteraan rakyat.
MCMC menjelaskan, pelaksanaan LESTARI akan dipantau secara berkala berdasarkan sasaran dan petunjuk yang ditetapkan bersama industri bagi memastikan setiap inisiatif mencapai hasil yang disasarkan.
Turut diperkenalkan, Net Zero & Circularity Alliance (NZCA), platform kerjasama industri untuk mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas usaha pengumpulan, penggunaan semula dan kitar semula peranti secara lebih tersusun.
"Sebagai tanda komitmen awal terhadap agenda kelestarian sektor komunikasi dan multimedia, 15 organisasi daripada pelbagai segmen ekosistem digital telah menandatangani ikrar sokongan kepada LESTARI dan NZCA," menurut kenyatan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
