[VIDEO] Bekas tukang cat mengaku salah miliki dadah, racun

JOHOR BAHRU – Seorang bekas tukang cat mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas lima pertuduhan memiliki pelbagai jenis dadah berbahaya dan kafein lima tahun lalu.
Tan Heng Lee, 55, membuat pengakuan itu selepas diperintahkan membela diri terhadap kesemua pertuduhan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Singh Gill Ranjit Singh.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan bagi setiap empat pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan penjara setahun bagi pertuduhan di bawah Akta Racun 1952.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dan dikira bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 Januari 2021.
Sehubungan itu, Heng Lee yang telah ditahan reman di Penjara Kluang selama lima tahun lapan bulan sejak ditangkap, dibebaskan pada Rabu selepas tempoh hukumannya selesai.
Mengikut empat pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki 0.131 gram ketamin, 1.913 gram methamphetamine, 0.066 gram monoacetylmorphines dan 1.642 gram MDMA di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Tengah, Kampung Sungai Danga kira-kira jam 2.45 petang pada 8 Januari 2021.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kelima pula, Heng Lee didakwa memiliki 2.638 gram kafein di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam mitigasi, peguam Abdul Hamid Menon Abdullah, Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying memaklumkan bahawa tertuduh telah bercerai serta mempunyai bapa berusia 90 tahun di Sarawak yang perlu ditanggung.
Peguam turut memaklumkan bahawa kes itu merupakan kesalahan pertama tertuduh selain beliau telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Tertuduh juga berhasrat untuk pulang ke Sarawak bagi bersama keluarganya selepas dibebaskan.
“Saya mohon hukuman yang ringan dan bermula dari tarikh tangkap,” kata Heng Lee di mahkamah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afdhalan Syafiq Azmi memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta hakikat bahawa pengakuan bersalah dibuat selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan fakta kes, semua dadah dan bahan berkenaan ditemukan dalam poket kiri seluar yang dipakai tertuduh ketika pemeriksaan polis di kawasan parkir apartmen tersebut sebelum dia ditahan.
Pada 15 September lalu, Heng Lee dan kekasihnya, Tan Yok Chew, 58, yang didakwa atas pertuduhan mengedar 413.35 gram MDMA, telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di Jalan Baiduri 12, Taman Baiduri kira-kira jam 5 petang pada 8 Januari 2021.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, bagi lima pertuduhan memiliki dadah dan racun, Heng Lee diperintahkan membela diri selepas pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi dan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Prosiding perbicaraan dijadualkan bermula pada Rabu, namun tertuduh memilih untuk mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

