Dua maut nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH - Dua lelaki maut sementara seorang lagi cedera dalam nahas yang melibatkan dua buah lori di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 10.36 malam.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai digerakkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira 16 kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berumur 42 tahun yang tersepit.
“Sebuah lagi lori membawa muatan sayur yang dinaiki dua orang, masing-masing berumur 35 dan 40 tahun, telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik sehingga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan ambulans manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam masa sama, katanya, anggota mengunakan satu aliran salur bantu mula dan habuk kayu untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan tumpahan minyak pada permukaan jalan sehingga selesai.
“Setelah memastikan tiada lagi wujud bahaya-bahaya yang lain ketua operasi mengarahkan anggota bersama jentera balik ke balai,” ujarnya.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bomba tamat sepenuhnya jam 1.15 pagi. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
