Zakat fitrah Kelantan masih kekal RM7

Zulkifle Ab Rahman
Zulkifle Ab Rahman
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini mengumumkan kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini kekal RM7.

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman berkata, bagaimanapun mana-mana pembayar yang ingin membuat bayaran RM14 atau RM21 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah dialu-alukan.

Menurutnya, amil yang dilantik untuk memungut zakat terdiri daripada imam masjid di setiap mukin di negeri ini, pegawai-pegawai agama di kem tentera, balai polis, pusat tahanan dan agensi yang diberikan kebenaran.

“Pada tahun ini MAIK mengalu-alukan masyarakat mengutamakan pembayaran secara dalam talian dengan merujuk Portal MAIK di laman sesawang www.e-maik.my memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April depan.

“Kaunter zakat MAIK di Kompleks Islam Darul Naim di Balai Islam Lundang hanya beroperasi untuk Kaunter Zakat Fitrah mulai jam 9.30 pagi sehingga 12 tengah hari sepanjang Ramadan ini dengan mengikuti syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zulkifle berkata, selain itu zakat juga boleh dibayar melalui 16 institusi perbankan yang dilantik oleh MAIK sebagai ejen kutipan iaitu di Bank Islam, CIMB, RHB, AmBank, Affin Islamic Bank Berhad dan Affin Bank Berhad.

"Selain itu, zakat juga boleh dibayar melalui HSBC Bank Berhad, EON Bank Berhad, Al-Rajhi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, OCBC Al-Amin dan Agrobank yang dilaksanakan menggunakan khidmat kaunter mahupun perbankan internet," katanya.

Beliau berkata, MAIK turut melantik Bank Islam Malaysia Berhad sebagai acquiring bank bagi melaksanakan fasiliti pembayaran secara melalui Merchant Pembayaran Portal Rasmi MAIK (e-zakat payment) di www.e.maik.my.

Artikel Berkaitan:

Katanya, MAIK turut memperluaskan operasi pungutan zakat ke seluruh jajahan di negeri ini menerusi pembukaan kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan mukim bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari sepanjang Ramadan.

"Pembayaran boleh dibuat di pejabat pos di seluruh negeri Kelantan sebagaimana jadual yang ditetapkan," katanya.