Carrick persoal gol Haaland

PENGURUS Manchester United, Michael Carrick menganggap keputusan pengadil membenarkan gol kemenangan Erling Haaland dalam derbi Manchester sebagai sesuatu yang membimbangkan.
United tewas 0-1 kepada Manchester City di Old Trafford selepas Haaland meledak gol tunggal perlawanan ketika skuad kendalian Enzo Maresca itu beraksi dengan 10 pemain.
Gol berkenaan pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan itu berubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengambil masa agak lama.
Enzo Fernandez berada dalam kedudukan ofsaid ketika cuba menanduk bola sebelum ia sampai kepada Haaland, namun pemain Argentina itu tidak dianggap mengganggu permainan.
Carrick bagaimanapun sukar menerima penjelasan berkenaan dan mempersoalkan bagaimana situasi itu dinilai oleh barisan pengadil.
"Ia merisaukan jika begini keadaannya, jika begitulah cara permainan ini dilihat oleh mereka yang mengadilinya.
"Saya benar-benar tidak faham, saya tidak boleh faham fikiran mereka," katanya.
Lisandro Martinez yang menjadi antara pertahanan United dalam situasi itu turut berpendapat kehadiran Fernandez memberi kesan kepadanya ketika cuba mengawal gerakan tersebut.
"Saya pergi ke arahnya kerana dia berada di hadapan saya. Sebab itulah Haaland bebas di belakang," katanya.
Pemain Argentina itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu ketidakadilan, selain menyelar kesilapan yang berlaku dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Lima atau enam orang (pengadil) melakukan kesilapan sebegini dalam kancah EPL adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kami pulang ke rumah membawa ketidakadilan ini," ujar Martinez.
Kekalahan itu menyaksikan United hanya mengumpul empat mata daripada empat perlawanan pembukaan liga dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Arsenal serta City.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
