Emas berganda Liek Hou di Jepun

Liek Hou (dua dari kanan) dan Faris (dua dari kiri) beraksi cemerlang apabila membawa pulang tiga emas dari Kejohanan Para Antarabangsa Jepun pada Ahad. Foto Facebook Cheah Liek Hou.
Liek Hou (dua dari kanan) dan Faris (dua dari kiri) beraksi cemerlang apabila membawa pulang tiga emas dari Kejohanan Para Antarabangsa Jepun pada Ahad. Foto Facebook Cheah Liek Hou.
A
A
A

JAGUH para badminton negara, Cheah Liek Hou kembali menemui rentak terbaik apabila merangkul dua pingat emas pada Kejohanan Para Antarabangsa Jepun 2026 pada Ahad.

Pemain nombor satu dunia itu menjuarai perseorangan lelaki SU5 selepas menewaskan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Taiyo Imai, 21-13, 21-11 dalam masa 33 minit.

Kejayaan itu menyaksikan Liek Hou meraih kejuaraan keempatnya dalam acara berkenaan tahun ini selepas turut muncul juara pada Kejohanan Para Dunia 2026 serta kejohanan para antarabangsa di Sepanyol dan Perancis.

Dia kemudian melengkapkan hari gemilangnya apabila bersama Faris Ahmad Azri menewaskan gandingan Chirag Baretha-Tay Wei Ming dari India-Singapura 21-15, 21-15 dalam final beregu lelaki SU5 yang berlangsung selama 28 minit.

Gandingan Liek Hou-Faris turut meneruskan rekod tanpa kalah mereka tahun ini, selain meraih kejuaraan ketiga selepas kejayaan pada Kejohanan Para Dunia dan Para Antarabangsa Perancis.

Bagi Liek Hou, kejayaan di Jepun hadir pada masa tepat setelah dia kembali beraksi selepas berehat daripada pertandingan selama kira-kira tiga bulan.

“Keputusan kali ini cukup memuaskan bagi saya kerana dapat kembali mendapatkan rentak dan ‘feeling’ pertandingan selepas tiga bulan tidak bertanding,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Lebih penting, juara Paralimpik dua kali itu mempunyai kira-kira tiga minggu untuk melakukan persiapan terakhir menjelang Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Saya ada tiga minggu sahaja untuk persediaan ke Sukan Para Asia di Nagoya. Doakan supaya segala persediaan saya bertambah lebih bagus dan mencapai matlamat di Nagoya nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!