Waris ‘hidupkan’ kembali jejak Tok Diman

PASIR MAS - Jejak perjalanan Tok Diman yang merentas dari Kampung Chetok di sini hingga ke Raub, Pahang, ratusan tahun lalu kembali disusuri warisnya menerusi Kembara Jejak Tok Diman yang menghimpunkan keluarga daripada beberapa negeri.
Waris generasi keenam, Abdul Rahman Yusuf berkata, kembara itu menjadi sebahagian daripada usaha keluarga memperingati sejarah Tok Diman selain mempertemukan waris daripada Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur.
“Tujuan kami kembara sampai ke Pahang ini adalah untuk mengingati perjalanan Tok Diman yang pernah pergi ke sana dan menghayati sejarah perjalanan beliau,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Chetok Sungai di sini pada Sabtu.

Menurutnya, Tok Diman dipercayai menggunakan laluan sungai ketika bergerak dari Chetok ke Pahang pada zaman kemudahan jalan darat belum wujud seperti hari ini.
“Berdasarkan semakan yang dibuat, beliau dipercayai menggunakan laluan termasuk Sungai Galas dan Sungai Negeri,” katanya.
Usaha mengumpul dan menyusun sejarah serta susur galur Tok Diman dimulakan sejak 1998 melalui penelitian waris ke waris di seluruh negeri terlibat.
Katanya, usaha tersebut turut dilakukan bersama dan maklumat yang dikumpulkan kemudiannya ditulis serta dihimpunkan dalam sebuah buku keluarga.
“Ini bukan usaha kecil kerana kita terpaksa pergi dari rumah ke rumah dan mencari waris.
“Kami mahu menyusun dan mengenal pasti susur galur warisan keluarga anak cucu Tok Diman ini supaya generasi akan datang mengetahui asal-usul dan sejarah keluarga mereka,” katanya.
Abdul Rahman berkata, susur galur Tok Diman kini mencapai 12 generasi dengan jumlah keturunan di Kelantan sahaja dianggarkan kira-kira 10,000 orang.
“Tok Diman bernikah dan mempunyai anak iaitu Tok Jalal, cucu Tok Jalal atau cicit Tok Diman di Kelantan sahaja ada 28 orang.
“Keturunan ini terus berkembang dan hubungan keluarga antara Kelantan dengan Pahang sangat erat," katanya.
Tok Diman atau Sutan Amir Kaharuddin Budiman berasal dari Muara Sipongi, Sumatera, sebelum berhijrah ke Pagaruyung dan seterusnya melalui Aceh serta Patani dalam perjalanan ke Tanah Melayu pada lewat abad ke-19.
Menurut Abdul Rahman, Tok Diman dikenali sebagai Lebai Diman selepas berada di Patani selain mempunyai latar belakang agama dan dikaitkan dengan peranan kepahlawanan ketika berada di Pagaruyung.
“Lebai itu gelaran untuk guru agama. Apabila datang ke sini, beliau membawa agama Islam dan antara legasi yang dikaitkan dengan beliau ialah surau di Chetok yang kemudiannya menjadi Masjid Mukim Chetok,” katanya.

Beliau berkata, Tok Diman tidak lama berada di Chetok sebelum meneruskan perjalanan ke Raub, Pahang dan mempunyai dua anak di kawasan negeri itu.
Sementara itu, Tapak Warisan Tok Diman di Kampung Chetok di sini turut diwujudkan sebagai tanda peringatan serta ruang untuk generasi keluarga mengenali susur galur dan sejarah tokoh berkenaan.
Katanya, tapak asal kediaman Tok Diman dipercayai terletak kira-kira 200 meter dari lokasi tapak warisan yang diwujudkan sekarang.
“Tapak ini dibuat sebagai peringatan supaya keluarga boleh datang untuk mengetahui susur galur keluarga serta sejarah Tok Diman,” katanya.
Kembara Jejak Tok Diman berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 September dengan rombongan disertai kira-kira 50 waris menziarahi tanah perkuburan di Kampung Chetok sebelum meneruskan perjalanan ke Raub.
Rombongan turut menziarahi tanah perkuburan Tok Diman di Kampung Sengkela sebelum ke Kampung Durian Sebatang dan ramah mesra keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

