Bayaran haji musim depan dikekalkan

PUTRAJAYA - Kerajaan mengekalkan kos haji Muassasah bagi musim 1448H/2027M pada RM33,300 seorang untuk tahun keempat berturut-turut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, bantuan RM1,000 kepada setiap bakal haji kumpulan B40 yang menunaikan haji buat kali pertama turut dikekalkan bagi tahun kelima.
"Bayaran haji bagi jemaah B40 kekal pada kadar RM15,000 manakala Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) bagi jemaah B40, termasuk bantuan RM1,000 dikekalkan pada RM18,300," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, bayaran bagi jemaah M40 adalah RM23,500 dan HAFIS kekal pada kadar RM9,800 dan jemaah T20 pula perlu menjelaskan kos penuh RM33,300.
"TH memperuntukkan RM234 juta bagi menanggung HAFIS secara bersasar," jelas Zulkifli.
Tambahnya, meskipun berdepan tekanan inflasi perkhidmatan serta impak konflik geopolitik di Asia Barat, TH berjaya memantau dan mengawal kenaikan kos berasaskan tadbir urus yang cekap tanpa mengorbankan kualiti perkhidmatan.
"Standard perkhidmatan ini terbukti cemerlang apabila Malaysia memenangi Labbaytum Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 2026.
"Kerajaan bersama TH akan sentiasa memantau struktur kos dari semasa ke semasa mengikut persekitaran global demi memastikan kebajikan dan kelancaran urusan duyufurrahman terus dipelihara," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli memaklumkan persiapan awal bagi musim haji 1448H/2027M telah dimulakan dan surat tawaran haji akan mula dikeluarkan secara berperingkat pada bulan ini.
Bakal jemaah dinasihatkan agar membuat persediaan rapi dari segi kesihatan, kewangan, dan kefahaman ilmu selaras dengan konsep istito’ah.
"Kerajaan berkeyakinan tinggi bahawa hubungan erat yang terjalin antara Malaysia, TH, dan Kerajaan Arab Saudi akan terus memperkukuh kerjasama serta kualiti penyampaian perkhidmatan haji yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia." ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

