Pesalah rasuah perlu jalani hukuman penuh - PH

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menegaskan, pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan.
"Beberapa kes-kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini telah memberikan kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Gabungan tersebut turut menegaskan, prinsip kedaulatan undang-undang juga menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan diberi ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.
Menurutnya, ia penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
"Sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut.
"PH akan terus mendukung usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa dengan turut menjunjung penuh titah Yang di-Pertuan Agong supaya setiap kes harus disiasat dengan menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," ujarnya.
PH menjelaskan, gabungan itu dibina atas sokongan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.
"Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut.
"Pakatan Harapan mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa yang sama kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

