Nyawa mahasiswa bukan pertaruhan latihan lasak

Laporan Sinar Harian pada 6 September 2026.
Laporan Sinar Harian pada 6 September 2026.
A
A
A

TRAGEDI meragut nyawa penuntut universiti ketika menjalani latihan lasak seharusnya menjadi titik hitam yang memaksa seluruh warga pendidikan tinggi bermuhasabah.

Ia bukan sekadar kisah seorang mahasiswa yang pergi terlalu awal tetapi peringatan keras bahawa keselamatan tidak boleh diletakkan di belakang keberanian, disiplin atau pencapaian sesuatu program.

Di sebalik setiap aktiviti kokurikulum, latihan fizikal dan program ketahanan, ada nyawa manusia yang perlu dilindungi.

Mahasiswa bukan bahan uji kaji untuk membuktikan siapa paling kuat, paling tahan atau paling gagah.

Mereka ialah anak, adik, abang, kakak dan harapan keluarga yang menghantar mereka ke universiti dengan impian untuk melihat mereka pulang membawa kejayaan.

Sudah tiba masanya semua institusi pengajian tinggi melakukan perubahan terhadap pengurusan aktiviti lasak.

Tiada program yang begitu penting sehingga keselamatan peserta boleh dikompromi. Faktor cuaca misalnya, tidak boleh lagi dianggap perkara kecil.

Pemantauan indeks haba, suhu dan keadaan persekitaran mesti menjadi prosedur wajib sebelum dan sepanjang latihan. Jika keadaan cuaca berada pada tahap membahayakan, aktiviti luar perlu dihentikan tanpa rasa bersalah atau takut dianggap lemah.

Kesiapsiagaan perubatan juga perlu diberi perhatian serius. Aktiviti melibatkan ketahanan fizikal atau keadaan mencabar sewajarnya mempunyai pelan kecemasan jelas, petugas kesihatan terlatih serta akses pantas bantuan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Setiap minit amat berharga apabila peserta mula menunjukkan tanda seperti pening, muntah, kekejangan atau kehilangan kesedaran.

Pada masa sama, budaya memaksa diri sehingga melampaui batas perlu dihentikan. Tidak salah mengajar mahasiswa supaya cekal tetapi ketahanan mental tidak bermaksud mereka perlu menafikan isyarat tubuh sendiri.

Mahasiswa yang berkata 'saya tidak larat' bukan pengecut. Penuntut yang meminta berehat bukan gagal. Malah, keberanian sebenar ialah berani mengakui tubuh sudah mencapai hadnya sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Perkara itu juga menjadi iktibar kepada masyarakat. Ibu bapa, pensyarah, jurulatih dan rakan sebaya perlu bersama-sama membina budaya yang menghormati keselamatan.

Jangan hanya bertanya tentang keputusan program selepas semuanya selesai. Tanyakan juga bagaimana keadaan peserta? Apakah risiko yang dikenal pasti? Apakah pelan kecemasan jika sesuatu berlaku?

Kementerian Pendidikan Tinggi pula perlu memastikan tragedi seperti itu tidak berakhir dengan ucapan takziah, laporan siasatan dan janji penambahbaikan yang akhirnya dilupakan.

Audit keselamatan bebas, semakan modul latihan, penetapan had aktiviti fizikal dan prosedur kecemasan yang seragam perlu dilaksanakan secara serius.

Jika terdapat kelemahan, ia mesti diperbaiki. Jika terdapat kecuaian, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Nyawa mahasiswa tidak boleh dinilai selepas tragedi berlaku. Nilainya mesti dihormati sebelum mereka melangkah ke padang latihan.

Setiap pihak terlibat perlu memahami bahawa disiplin tanpa pertimbangan keselamatan boleh berubah menjadi risiko yang membawa padah.

Setiap keluarga berhak mendapat keyakinan anak mereka selamat ketika menyertai program universiti.

Jadikan ia titik perubahan supaya setiap latihan selepas ini bermula dengan satu prinsip yang tidak boleh dirunding: setiap mahasiswa mesti pulang dengan selamat.

*Mohd Azlim Zainury ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!