Bubar DUN Melaka: Teka-teki ‘dua kali Jumaat’

Ab Rauf (kanan) memberi bayangan ‘dua kali Jumaat’ lagi, teka-teki mengenai pembubaran DUN kini semakin terarah kepada penghujung bulan ini. - Foto fail Bernama
Ab Rauf (kanan) memberi bayangan ‘dua kali Jumaat’ lagi, teka-teki mengenai pembubaran DUN kini semakin terarah kepada penghujung bulan ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

RAKYAT Melaka kini sedang menunggu jawapan kepada satu persoalan yang semakin menghampiri penghujungnya. Bilakah Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN)?

Selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan ‘dua kali Jumaat’ lagi, teka-teki mengenai pembubaran DUN kini semakin terarah kepada penghujung bulan ini. Beliau dalam ucapannya turut menyebut rakyat sedang menunggu masa untuk menyerahkan semula kuasa bagi memilih pemimpin yang mereka kehendaki.

Ab Rauf sebelum ini juga tidak asing dengan bahasa kiasan ketika berbicara soal politik negeri itu termasuk mengibaratkan BN Melaka sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi perhatian untuk dipinang. Ia menguatkan spekulasi bahawa catur politik negeri sedang bergerak pantas.

Kiasan sedemikian mungkin mencuit hati tetapi bagi rakyat yang menanti kepastian, tarikh dan keputusan yang jelas tetap lebih bermakna daripada teka-teki berlapik.

Apatah lagi, perkembangan politik menjelang PRN Melaka semakin rancak apabila parti-parti mula menyusun strategi, mengatur gerak kerja dan membincangkan soal kerjasama.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut meminta pengumuman pembubaran DUN dipercepatkan bagi memberi ruang kepada rakyat, khususnya golongan muda menentukan hala tuju dan masa depan negeri.

Dalam hal ini, tidak salah untuk berteka-teki dalam politik. Strategi, kejutan dan bahasa kiasan mungkin sebahagian daripada percaturan.

Namun, apabila menyentuh proses demokrasi, kepastian tidak seharusnya menjadi sesuatu yang perlu diteka oleh rakyat.

Dalam suasana politik yang semakin rancak, ketelusan soal tarikh pilihan raya juga penting bagi mengelak persepsi bahawa masa pengumuman boleh dimanipulasi demi kepentingan politik tertentu.

Artikel Berkaitan:

Jika benar hanya tinggal ‘dua kali Jumaat’, biarlah penantian itu berakhir dengan pengumuman yang jelas, tepat dan tidak mengelirukan. Jangan sampai rakyat pula sibuk mengira Jumaat, sedangkan perkara yang lebih penting ialah membuat pilihan berdasarkan maklumat yang cukup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!