Lori tangki terbakar di Lebuhraya Karak

GOMBAK – Sebuah lori tangki dilaporkan terbakar pada bahagian kepala kenderaan di Kilometer 33.7 Lebuhraya Karak berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.33 petang.
"Seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh 23 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashrul Riezal berkata, pihak bomba tiba di lokasi pada jam 2.08 petang mendapati lori jenis Volvo terbakar pada bahagian kepala.
"Kemusnahan dianggarkan 30 peratus.Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), memaklumkan trafik sesak sejauh 8.5 kilometer susulan kejadian kebakaran itu.

Menurut maklumat LLM pada jam 3.16 petang, kerja-kerja pengalihan kenderaan terbabit sedang dijalankan.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memberi tumpuan ketika memandu serta memastikan jarak selamat dengan kenderaan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
