'Dulu saya kena strok, sekarang suami pula'

Harniza (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan keadaan menimpa mereka ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Harniza (kiri) tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan keadaan menimpa mereka ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Bahagia yang dibina baru menginjak usia beberapa tahun, namun tiada siapa menyangka dugaan berat menimpa pasangan suami isteri di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai di sini, selepas kedua-duanya diuji dengan penyakit strok.

​Lebih menyedihkan, dugaan terbaharu itu menimpa bekas imam Masjid Kampung Nibong, Muhamad Hussin Md Zin, 46, yang diserang strok pendarahan otak secara tiba-tiba hanya beberapa hari sebelum menyambut ulang tahun perkahwinan mereka, baru-baru ini.

​Isterinya, Harniza Abdul Razak, 47, berkata, kejadian itu berlaku sehari selepas sambutan Maulidur Rasul ketika suaminya sedang membaiki paip tersumbat di rumah pada sebelah pagi.

​"Kejadian tu berlaku pada hari Rabu, tangan kiri dia tiba-tiba tidak boleh digerakkan. Adik kembar dia yang menyedari keadaan tu terus hubungi ambulans sebelum dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

​"Doktor mengesahkan terdapat pendarahan di bahagian kepala (neurosurgical). Dia terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama empat hari dan berada di wad hampir dua minggu kerana mengalami demam sebelum dibenarkan keluar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya.

​Harniza yang juga seorang pemegang Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Bahasa Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, ujian berkenaan amat menguji ketabahan mereka memandangkan dia sendiri sudah 10 tahun menderita akibat serangan strok neurologi sejak 2017.

​Katanya, dalam keadaan fizikal yang lumpuh sebelah kiri badan, dia terpaksa menggagahkan diri menaiki perkhidmatan e-hailing (Grab) secara berulang-alik ke hospital bagi menemani serta menguruskan suaminya sepanjang ditahan di wad.

​"Sebelum ini, suami yang banyak menjaga saya. Walaupun dia sibuk dengan tugas sebagai imam masjid selama empat hingga lima tahun lalu, mengajar kelas mengaji dan berzanji, serta rajin mesin rumput di tanah perkuburan, dia sentiasa ada untuk saya.

​"Namun kini segalanya berubah sekelip mata. Dia yang dahulu aktif memakmurkan masjid dan masyarakat, kini terlantar dan hanya mampu minum susu serta bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan hospital," luahnya sebak.

Artikel Berkaitan:

​Menceritakan lanjut, penderitaan Harniza sebenarnya bermula sejak 2017 apabila diserang strok ketika menyiapkan tesis PhD setebal 350 muka surat.

Beliau kemudian disahkan menghidap kanser ovari hingga terpaksa menjalani pembedahan dibuang sebelah ovari pada 2018, sebelum disahkan mengalami Systemic Lupus Erythematosus (SLE) pada 2022.

​Kini, pergerakan harian pasangan berkenaan banyak dibantu oleh ibu Harniza, Wan Khamsah Shaikh Ali yang sudah berusia 82 tahun.

​Menurut Harniza, dia kini turut berdepan masalah kewangan kerana perlu membiayai pelbagai kos perubatan, pembelian susu khas, lampin pakai buang, serta sewaan ambulans swasta bagi tujuan janji temu pakar dan rawatan pemulihan (rehab).

​"Sekarang semua perkara memerlukan kos yang tinggi. Untuk ke hospital atau pusat fisioterapi sahaja kami terpaksa menyewa ambulans.

"Kami juga berhasrat untuk cuba mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban ini," katanya.

​Orang ramai atau pihak yang prihatin serta berhasrat menghulurkan sumbangan kewangan atau bantuan kelengkapan perubatan bagi meringankan beban pasangan ini boleh menghubungi Harniza di talian 013-2800709.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!