Jangan tunggu skandal seterusnya

CADANGAN meletakkan sebahagian fungsi pelaburan Tabung Haji (TH) di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan memperkemas Akta Tabung Haji 1995 memang wajar diberi perhatian serius.
Namun reformasi sebesar ini tidak boleh dibuat hanya kerana kita mahu menunjukkan sesuatu telah berubah selepas kelemahan lampau didedahkan RCI.
Syor RCI penting, tetapi ia bukan kitab suci yang mesti diterima bulat-bulat. Kerajaan perlu menjelaskan siapa yang menilai semula syor-syor itu, apa yang masih sesuai untuk keadaan TH hari ini dan apa yang perlu diubah.
Begitu juga dengan peranan SC. TH bukan syarikat pengurusan dana biasa. Ia menjaga simpanan umat Islam, mengurus pelaburan, menyediakan urusan haji dan pada masa sama menanggung bantuan kewangan haji.
Kita mahu pagar yang mencegah salah urus, bukan gari yang menyebabkan TH terlalu terikat untuk membuat keputusan pelaburan.
Reformasi juga tidak boleh sekadar memindahkan kuasa dari satu meja ke meja lain. Jika campur tangan politik menjadi antara punca kelemahan terdahulu, struktur baharu mesti benar-benar mengecilkan ruang itu, bukan hanya menukar siapa yang mempunyai kata putus dalam keputusan pelaburan besar.
Lebih penting, pembahagian kuasa antara TH, SC, Bank Negara, Menteri Kewangan dan Menteri Agama mesti jelas. Jangan sampai apabila masalah berlaku nanti, terlalu ramai mempunyai sedikit kuasa tetapi tiada siapa benar-benar bertanggungjawab.
Bagi pendeposit, ukuran kejayaan reformasi sebenarnya lebih mudah.
Mereka mahu wang selamat, agihan keuntungan yang baik dan apabila tiba giliran ke Tanah Suci, bayaran haji masih mampu ditanggung.
Masalahnya, tiga perkara itu tidak datang percuma. Pulangan tinggi, risiko rendah dan bantuan haji besar memerlukan keseimbangan yang sangat teliti.
Sebab itu pindaan Akta TH jangan sekadar menutup lubang lama. Ia mesti memastikan institusi ini cukup selamat untuk mengelakkan skandal seterusnya, tetapi cukup lincah untuk terus menghasilkan pulangan dan melaksanakan amanah hajinya.
Jangan tunggu skandal seterusnya untuk membetulkan apa yang boleh diperbetulkan sekarang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
