Prosiding libatkan Undang Luak perlu di Mahkamah Khas - Peguam

Awang Armadajaya (kanan) dan Mohammed Rhiza hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin bagi prosiding hujahan permohonan rayuan penggantungan prosiding komital.
Awang Armadajaya (kanan) dan Mohammed Rhiza hadir ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin bagi prosiding hujahan permohonan rayuan penggantungan prosiding komital.
A
A
A

PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili tiga Undang Luak, seorang bekas Undang Luak dan dua pembesarnya memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bahawa, prosiding melibatkan seorang Raja, perlu dibicarakan di Mahkamah Khas dan bukannya Mahkamah Tinggi.

Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili enam pihak itu selaku perayu berkata demikian semasa hujahan permohonan rayuan penggantungan prosiding komital (hina mahkamah).

Ia membabitkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan membenarkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap enam individu terbabit, yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun lalu.

Mereka ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Perintah injunksi 'ad interim' itu dikeluarkan dalam kes saman yang difailkan berhubung pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Semasa hujahan, Awang Armadajaya berkata, bagi Negeri Sembilan, gelaran Raja yang dirujuk ialah Yang di-Pertuan Besar atau lebih dikenali sebagai Yamtuan Besar dan pemerintah Raja Wilayah Adat (Undang Luak).

Katanya, ia sekali gus menunjukkan, sebarang prosiding melibatkan Undang Luak perlu dibuat di Mahkamah Khas.

“Apabila Mahkamah Tinggi membenarkan injuksi bagi kebenaran komital diteruskan, timbul persoalan sama ada Mahkamah Tinggi telah mengambil alih bidang kuasa Mahkamah Khas.

“Jika bidang kuasa terletak di Mahkamah Khas, ini akan menjadikan semua prosiding di Mahkamah Tinggi tidak sah.

Artikel Berkaitan:

“Kegagalan menangguhkan prosiding komital di Mahkamah Tinggi menyebabkan rayuan ini menjadi sia-sia dan tidak lagi praktikal,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi dan Asmawi Ismail.

Sehubungan itu, Awang Armadajaya memohon, isu bidang kuasa diputuskan oleh panel Mahkamah Rayuan terlebih dahulu untuk menentukan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan prosiding komital terhadap semua perayu.

Sementara itu, peguam, Steven Thiru yang mewakili DKU dan Raja Norazli selaku responden berkata, prosiding komital di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan tanpa berlengah.

Katanya, ia selaras dengan prinsip yang telah ditetapkan bahawa sebaik sahaja komital dimulakan, ia perlu diberi keutamaan berbanding semua prosiding lain.

Selain Steven, responden turut diwakili peguam, David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh Sachdev.

Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei, apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April.

Antara kandungan minit mesyuarat itu ialah keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada 5 Jun, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ‘ad interim’ bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai Setiausahanya.

Perintah itu berkuat kuasa sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai isu bidang kuasa serta sama ada pertikaian itu boleh diadili, dan sehingga perintah selanjutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari yang sama menunjukkan enam pihak itu khususnya Maarof, terlibat dalam proses pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 walaupun perintah injunksi itu masih berkuat kuasa.

Beliau mendakwa tindakan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.

Susulan dakwaan pelanggaran itu, Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah.

Pada 8 Julai, mahkamah itu membenarkan permohonan Setiausaha DKU untuk memulakan prosiding komital kerana mendakwa keenam-enam individu tersebut melanggar perintah injunksi 5 Jun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab yang bersidang bersama Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh menetapkan pengurusan kes secara dalam talian pada 14 September bagi menentukan tarikh keputusan rayuan permohonan berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!