RM28.72 lesap setiap saat

KUALA LUMPUR – Negara mencatat nisbah kerugian sebanyak RM2.48 juta sehari akibat jenayah sindiket penipuan pelaburan sejak tiga tahun lalu.
Bahkan, data merekodkan sebanyak RM103,383 sejam, RM1,722.45 seminit dan RM28.72 sesaat lesap akibat penipuan.
Nisbah ini berdasarkan statistik keseluruhan direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2023 hingga Julai lalu membabitkan 26,196 kes dengan kerugian RM3.24 bilion.
Berdasarkan taktik dikesan, sindiket penipuan pelaburan tidak wujud bukan sahaja menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan imej individu atau tokoh terkenal serta elemen islamik, bahkan dikenal pasti mempunyai jaringan dengan sindiket keldai akaun.
Ini terbukti dengan rekod 14,591 tangkapan serta 6,571 pertuduhan yang dilaksanakan JSJK.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sindiket secara lazimnya mempromosikan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dengan risiko dikatakan rendah atau tiada risiko.
Menurutnya, sindiket menggunakan media sosial, aplikasi pesanan, laman sesawang dan kumpulan pelaburan dalam talian bagi menarik minat mangsa.
”Sindiket turut memaparkan testimoni palsu, keuntungan rekaan dan menggunakan identiti individu berpengaruh atau syarikat kelihatan sah bagi meningkatkan keyakinan mangsa.
”Mangsa kemudiannya dipujuk membuat pelaburan awal sebelum diminta membuat bayaran tambahan seperti cukai, yuran pemprosesan atau pengaktifan keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat JSJK di sini baru-baru ini.
Beliau mendedahkan, berdasarkan kes direkodkan, ada mangsa menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), meminjam rakan, institusi kewangan selain along.
Katanya, ada antara mangsa melabur hingga berbulan-bulan hingga akhirnya mengalami kerugian sehingga RM3 juta sebelum menyedari diperdaya.
”Bermacam bentuk pelaburan dijanjikan seperti emas, saham, pertanian, tanah, produk makan minuman, bitcoin dan lain-lain.
”Modus operandi pelbagai. Mereka gunakan platform digital media sosial dengan menyatakan keuntungan tinggi, janji untung 300 peratus, patuh syariah dan cepat.
”Bagi mendapatkan kepercayaan mangsa, pelaburan awal mangsa akan mendapat keuntungan dahulu, sebelum mangsa menambah wang pelaburan. Sindiket ’pancing’ dulu hingga akhirnya mangsa rugi berjuta ringgit,” ujarnya.
Kata Rusdi, biar pun sudah ditangkap, JSJK tidak menolak kemungkinan sindiket akan beroperasi semula dengan menggunakan nama, syarikat atau platform yang berbeza bagi mengelakkan dikesan.
”Berdasarkan tangkapan suspek, mereka ini juga dikesan berperanan sebagai penyedia mule account (keldai akaun).
”Kita memantau media sosial ini 24 jam dengan meneliti indikator tertentu sebelum memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan,” ujarnya.
Tambahnya, jenayah dalam talian pada tahun lalu merekodkan kerugian kira-kira RM2.9 bilion dan pelaburan tidak wujud ini menyumbang kepada kerugian RM1.5 bilion.
”Kes ini sangat membimbangkan kerana ada antara mangsa mengeluarkan modal sehingga lebih sejuta ringgit tapi akhirnya dalam akaun tinggal RM300,” ujarnya.

Menurut beliau, sindiket yang menggunakan video atau gambar janaan palsu AI individu terkenal akan mempengaruhi mangsa untuk sertai pelaburan terbabit.
”Dia akan kata kononnya usah terlambat dan sebagainya. Tapi bila paparan palsu itu tersebar cepat, ia akan mempengaruhi individu lain yang melihatnya,” ujarnya.
Ramai pekerja swasta terjerat
Rusdi berkata, daripada segi pekerjaan, golongan pekerja sektor swasta mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 13,241 orang, mewakili lebih separuh daripada keseluruhan mangsa yang direkodkan.
“Ini diikuti oleh golongan pesara, individu tidak bekerja, penjawat awam dan ahli perniagaan.
”Selain itu, berdasarkan analisis statistik mengikut jantina menunjukkan bahawa mangsa lelaki merekodkan jumlah lebih tinggi iaitu seramai 15,021 orang berbanding 11,175 wanita,”ujarnya.
Jelasnya, faktor utama mangsa terjerat sindiket ialah keinginan memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh singkat serta kepercayaan terhadap promosi yang kelihatan meyakinkan.
“Sindiket juga mengeksploitasi kurangnya pengetahuan pelaburan, tekanan ekonomi dan penggunaan teknik manipulasi psikologi bagi mempengaruhi mangsa membuat keputusan secara tergesa-gesa,” katanya.
Kata beliau, JSJK akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan, risikan dan operasi terhadap sindiket pelaburan tidak wujud di seluruh negara.
“Selain itu, kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC, institusi kewangan serta agensi penguatkuasaan lain akan terus dipertingkatkan bagi mengekang aktiviti sindiket,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
