Sampai bila kita perlu 'sesak nafas'

Pemandangan berjerebu dirakam di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak. Foto: Bernama
Pemandangan berjerebu dirakam di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak. Foto: Bernama
A
A
A

JEREBU rentas sempadan dari Indonesia yang kembali menjejaskan Malaysia membangkitkan kebimbangan terhadap kualiti udara dan kesihatan awam.

Hakikat ia berulang hampir setiap tahun menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan usaha menangani punca sebenar masalah.

Laporan terkini Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan banyak titik panas di Sumatera dan Kalimantan, dengan asap rentas sempadan menjejaskan Malaysia, Singapura dan Brunei.

Persoalannya, mengapa masalah ini terus berulang meskipun pelbagai mekanisme kerjasama dan perjanjian telah diwujudkan bagi menangani pencemaran rentas sempadan?

Jawapannya mungkin terletak pada aspek penguatkuasaan. Pembakaran terbuka bagi pembukaan kawasan pertanian dan perladangan masih berlaku, termasuk membabitkan kawasan konsesi berskala besar.

Lebih membimbangkan, Indonesia sebenarnya mempunyai undang-undang tegas, termasuk penalti trilion rupiah terhadap syarikat didapati bertanggungjawab atas kebakaran hutan dan tanah gambut.

Antara kes terbesar membabitkan PT Merbau Pelalawan Lestari yang dikenakan denda sekitar 16.2 trilion rupiah oleh Mahkamah Agung Indonesia.

Namun, laporan media antarabangsa mendapati sebahagian besar denda kebakaran hutan masih sukar dikutip sepenuhnya akibat kekangan pelaksanaan dan tindakan susulan.

Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa hukuman berat di atas kertas tidak berkesan mencegah jika penguatkuasaan tidak konsisten.

Artikel Berkaitan:

Jerebu bukan sekadar mengaburkan pandangan, malah mengancam kesihatan dan menjejaskan pelbagai aktiviti. Negara jiran tidak seharusnya terus menjadi mangsa masalah berulang yang memerlukan penyelesaian tuntas.

Sudah tiba masanya tindakan lebih keras dan berkesan dilaksanakan supaya skrip sama tidak diulang setiap tahun. Rakyat Malaysia, Singapura dan negara serantau berhak menikmati udara yang bersih.

Sampai bila hak itu perlu dikorbankan akibat kegagalan mengawal punca pencemaran yang telah lama dikenal pasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!