Tukang paip diberkas disyaki bakar kenderaan

Polis menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan pada 31 Ogos lalu.
Polis menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan pada 31 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas diberkas selepas disyaki membakar sebuah kenderaan di Jalan Midah 1, Cheras, di sini pada 31 Ogos lalu.

Suspek berusia 62 tahun yang bekerja sebagai tukang paip itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di kawasan Desa Tun Razak, di sini, kurang 24 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan pada 31 Ogos lalu.

"Bertindak atas maklumat risikan, pihak polis berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 62 tahun dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan milik suspek, polis menemukan dan merampas sebotol cecair jernih disyaki thinner di dalam bonet belakang kereta yang dipercayai digunakan sebagai bahan bakar dalam kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine (METH) dan Amphetamine (AMP)," katanya.

Rosdi berkata, suspek direman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis mendapat arahan untuk menuduh suspek di bawah seksyen sama.

Artikel Berkaitan:

"Pada 4 September lalu, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tertuduh diperintahkan ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan semula kes pada 26 Oktober depan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!