Tevez mahu satukan Ronaldo-Messi dalam satu pasukan

LAGENDA Carlos Tevez mahu merealisasikan sesuatu yang belum pernah berlaku dalam karier Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo apabila merancang menghimpunkan kedua-dua ikon itu dalam satu pasukan pada perlawanan penghormatan buat dirinya di Stadium La Bombonera, Disember ini.
Jika menjadi kenyataan, aksi itu bakal mencipta sejarah tersendiri apabila Messi dan Ronaldo bergandingan dalam satu pasukan buat kali pertama.
"Kita akan satukan mereka," kata Tevez ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua bintang berkenaan berkongsi jersi.
Lebih menarik, Tevez mendedahkan masih berhubung dengan Messi dan Ronaldo menerusi WhatsApp, malah berseloroh sanggup pergi sendiri untuk mendapatkan persetujuan Ronaldo.
"Saya akan pergi ambil dia sendiri," katanya.
Tevez, 41, yang sudah bersara sebagai pemain profesional pada 2022, pernah berkongsi padang bersama Messi ketika mewakili Argentina dan menjadi rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United.
Messi kini meneruskan karier bersama Inter Miami dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, manakala Ronaldo masih beraksi untuk Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi.
Perlawanan penghormatan itu dirancang dengan sokongan Presiden Boca Juniors, Juan Roman Riquelme, yang dilaporkan sudah memberi lampu hijau untuk penggunaan La Bombonera.
Tarikh sebenar pada Disember masih belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan dengan jadual Boca Juniors.
Tevez menyasarkan kira-kira 60 bintang bola sepak menyertai perlawanan istimewa itu, termasuk beberapa bekas rakan sepasukan dan pemain yang pernah mewarnai kariernya.
Antara nama besar yang disebut ialah Edwin van der Sar, Gianluigi Buffon, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Giorgio Chiellini, Leonardo Bonucci dan Patrice Evra.
Di bahagian tengah, Andrea Pirlo, Paul Scholes, Riquelme dan Wayne Rooney turut antara pemain yang diharapkan dapat mengambil bahagian.
Tevez mahu membentuk satu pasukan yang menggabungkan rakan rapat serta kenalannya sepanjang karier, termasuk mereka yang dikenalinya sejak zaman membesar.
Pasukan lawan pula akan dibarisi pemain yang pernah menjadi rakan sepasukannya sepanjang lebih dua dekad dalam bola sepak profesional.
Namun, segala-galanya kini bergantung kepada kesediaan Messi dan Ronaldo untuk menerima jemputan itu, dengan kedua-duanya berpotensi menjadi tarikan utama acara berkenaan.
Jika impian Tevez tercapai, La Bombonera bakal menjadi pentas kepada gandingan yang selama ini hanya dapat dibayangkan peminat bola sepak dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
