Misi 'double', Selangor mahu tumbangkan KL

Selangor sudah bersedia untuk menentang Kuala Lumpur dalam saingan Piala Agong 2026 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 13 September ini. Foto: FB MPAJ.
Selangor sudah bersedia untuk menentang Kuala Lumpur dalam saingan Piala Agong 2026 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 13 September ini. Foto: FB MPAJ.
A
A
A

HASRAT Selangor memburu dua trofi musim ini bakal berdepan ujian pertama apabila mereka bertemu Kuala Lumpur dalam aksi Piala Agong 2026 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, 13 September ini.

Pertembungan itu dianggap cukup signifikan buat juara Piala Agong 2025 berkenaan kerana lawan mereka bukan calang-calang, sebaliknya Kuala Lumpur hadir dengan status juara Piala Emas Raja-Raja musim lalu.

Bagi pengendali Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yunus, pasukannya sudah menggunakan tempoh sebulan persiapan dengan sebaik mungkin bagi membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap sebelum saingan bermula.

Malah, 10 perlawanan persahabatan yang dilalui sepanjang tempoh berkenaan memberi ruang kepada barisan kejurulatihan menilai kemampuan setiap pemain, selain memperkemaskan kombinasi serta mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Syukur Alhamdulillah, kami sudah bersedia dan berlatih bersama selama kira-kira sebulan. Saya amat bersemangat dengan pasukan sepanjang persediaan kita dari awal Ogos hingga sekarang," katanya.

Fairuz berkata, siri perlawanan pemanas badan itu turut membantunya mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kekuatan skuad selain menentukan pemain yang bakal diberi kepercayaan mengisi kesebelasan utama.

"Daripada situ (aksi persahabatan) kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan, selain membantu saya dan staf kejurulatihan mengenal pasti kesebelasan utama," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Selangor Piala Emas Raja-Raja 2026 di Ampang pada Sabtu.

Menurutnya, Selangor kini bukan sahaja mahu mempertahankan kejuaraan Piala Agong, malah menjadikan saingan Piala Emas Raja-Raja sebagai satu lagi medan untuk mereka membuktikan kemampuan.

"Suka saya katanya, kita datang, kita berlatih dan kita bersemangat sebagai satu pasukan kerana sasaran utama kita ialah merangkul kejuaraan, dua piala prestij iaitu Piala Agong dan Piala Emas Raja-Raja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Fairuz mahu anak buahnya mengekalkan motivasi serta aura positif yang dibina sepanjang tempoh persiapan bagi memastikan segala perancangan taktikal pasukan dapat diterjemahkan dengan baik apabila turun menentang Kuala Lumpur nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!