Gunung berapi Anak Krakatau terus meletus, pancutan lava dilaporkan

Tangkap layar video letusan gunung berapi Anak Krakatau yang dikongsi pengguna media sosial.
Tangkap layar video letusan gunung berapi Anak Krakatau yang dikongsi pengguna media sosial.
A
A
A

JAKARTA - Gunung berapi Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera terus meletus pada pagi Sabtu, dengan bunyi dentuman dan deram-derum kedengaran dari pos pemerhatian ketika pihak berkuasa melaporkan aktiviti pancutan lava.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, letusan bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang tempoh pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi Sabtu.

Beliau berkata, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menilai bahawa struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula masih agak kecil dan tidak dianggap mampu mengalami keruntuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami, susulan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan pantai.

"Kerajaan sedang menangani kebimbangan orang ramai, khususnya di sepanjang pantai Banten dan Lampung mengenai kemungkinan tsunami yang dikaitkan dengan Anak Krakatau berdasarkan pengalaman mereka ketika tsunami pada 22 Disember 2018,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anak Krakatau yang secara pentadbiran terletak di Kabupaten Lampung Selatan, Provinsi Lampung, kekal pada Tahap III atau Siaga, dengan pihak berkuasa mengekalkan zon larangan sejauh tiga kilometer di sekitar kawah aktifnya.

"Orang ramai diminta supaya tidak menghampiri kawasan gunung berapi untuk melihat letusan atau mengambil gambar atau video memandangkan masih terdapat kemungkinan pancutan bahan dari kawah aktif,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 650 orang daripada 208 keluarga didaftarkan sebagai mangsa yang dipindahkan susulan peningkatan aktiviti Gunung Sinabung di Kabupaten Karo, Sumatera Utara, selepas letusan pada 31 Ogos mendorong pihak berkuasa menaikkan status gunung berapi itu daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga).

Berton berkata, kira-kira 405 orang masih berada di pusat pemindahan Jambur Arih Ersada di Desa Sukatepu setakat Jumaat, manakala tahap kerosakan kawasan pertanian akibat abu gunung berapi masih dinilai.

Beliau berkata, asap kawah tebal berwarna putih dilihat menjulang kira-kira 300 hingga 500 meter dari puncak Sinabung antara tengah hari hingga 6 petang Jumaat, walaupun tiada aktiviti seismik direkodkan sepanjang tempoh itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!