‘Tak mampu beli, saya buat sendiri Transformers’

Model kedua yang dihasilkan Kuang Kui iaitu Super Ginrai yang dipamerkan di dalam bilik sebagai koleksi peribadinya.
Model kedua yang dihasilkan Kuang Kui iaitu Super Ginrai yang dipamerkan di dalam bilik sebagai koleksi peribadinya.
A
A
A

KUANTAN – Bukan hanya pandai mengarang untuk menghasilkan berita, seorang wartawan akhbar berbahasa Cina di sini turut menggunakan kreativiti dan kemahiran tangannya untuk menghasilkan dua model Transformers dengan salah satunya setinggi kira-kira dua meter

Bagi Liang Kuang Kui, 47, Optimus Prime bukan sekadar watak kegemaran sejak siri animasi Transformers Generasi Pertama (G1) ditayangkan pada tahun 1980-an, malah menjadi model yang diimpikannya sejak kecil.

Menurutnya, hasrat untuk memiliki Optimus Prime setinggi orang dewasa bagaimanapun tidak kesampaian kerana harga yang mahal selain sukar mendapatkan model berkenaan di pasaran.

“Saya memang teringin sangat nak ada Optimus Prime sebesar orang dewasa. Hendak beli tak mampu, nak cari pun susah.

“Jadi saya fikir, kalau tidak boleh dapat di pasaran, kenapa tidak cuba hasilkan sendiri? Dari situ saya mula kumpul rujukan dan belajar sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bermula daripada minat itu, Kuang Kui menghabiskan hampir 10 tahun mengumpul rujukan dan mencari peralatan sesuai bagi membina robot berkenaan.

Dia turut melakukan pelbagai percubaan sebelum berjaya menghasilkan model yang diidamkan.

Ujarnya, peluang memulakan projek itu datang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 apabila lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

“Bila ada masa lapang, rasa rugi kalau hanya duduk begitu saja.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya mula fikir cara nak realisasikan keinginan itu dengan kemampuan yang ada dengan hasilkan satu demi satu bahagian robot mula terbentuk,” katanya yang sudah berkahwin.

Model God Ginrai yang sudah dijual kepada peminat dan kolektor
di Kajang.
Model God Ginrai yang sudah dijual kepada peminat dan kolektor di Kajang.

Model pertama

Berkongsi lanjut, Kuang Kui memberitahu, model pertama dihasilkan ialah Optimus Prime dengan rekaan asal G1 selepas melakar idea dan mencari pelbagai rujukan di internet sebelum membeli bahan secara berperingkat.

Jelasnya, pembinaannya bermula pada Julai 2020 menggunakan papan pemodelan polivinil klorida (PVC) dan akrilonitril butadiena stirena (ABS), gam industri 502 manakala pelbagai peralatan tangan sebelum siap pada Disember tahun sama.

Antara komponen untuk menyiapkan sebuah Transfomers.
Antara komponen untuk menyiapkan sebuah Transfomers.

Tambahnya, semua komponen dipotong, dipasang dan dicantum secara manual.

“Kerja mengecat pula dilakukan selepas warna asal dipadankan dengan bantuan kawan yang terlibat dalam industri cat,” ceritanya.

Bagi mengekalkan rupa seperti versi permainan asal, Kuang Kui berkata, pelekat pada model itu turut direka semula dengan membesarkan grafik asal kira-kira 10 kali ganda.

Menurutnya, kos menghasilkan model pertama mencecah ribuan ringgit, namun pembelian bahan secara berperingkat membolehkan perbelanjaan diurus sepanjang tempoh pembinaan.

“Bila siap dan saya tengok hasilnya depan mata, memang rasa puas.

“Masa itu saya tahu segala usaha dan percubaan yang dibuat selama ini berbaloi,” luahnya dengan nada gembira.

Kuang Kui memaklumkan, selepas beberapa bulan dipamerkan di rumah, Optimus Prime itu dijual kepada seorang pengumpul mainan dan peminat tegar di Kuala Lumpur pada Jun 2021.

Tidak lama selepas itu, dia memulakan projek kedua dengan memilih watak Super God Ginrai daripada siri Transformers: Masterforce.

“Pembinaan model itu bermula pada September 2021 dan mengambil masa hampir dua tahun sebelum siap pada Julai 2023,” katanya.

Kuang Kui menambah, projek kedua lebih mencabar kerana memerlukan rangka yang lebih kukuh dan struktur yang lebih kompleks.

“Model kedua memang lebih mencabar sebab banyak bahagian perlu dibuat dengan lebih teliti. Rangka pun kena cukup kuat supaya boleh menampung keseluruhan model.

“Hasilnya, God Ginrai setinggi kira-kira dua meter berjaya disiapkan dan ditempatkan di bilik koleksi peribadinya,” jelasnya lagi.

Kuang Kui bersama model pertama yang dibina iaitu G1 Optimus Prime setinggi kira-kira dua meter.
Kuang Kui bersama model pertama yang dibina iaitu G1 Optimus Prime setinggi kira-kira dua meter.

Kepuasan tersendiri

Dalam pada itu, Kuang Kui mengakui segala usaha dan masa yang dicurahkan sepanjang menyiapkan God Ginrai memberikan kepuasan tersendiri.

“Setiap kali pulang dari kerja saya akan masuk ke bilik koleksi untuk melihatnya.

“Bila tengok model itu, rasa tenang dan puas, macam hilang segala penat bekerja,” kongsinya.

Selepas dipamerkan selama kira-kira tiga tahun, Kuang Kui membuat keputusan untuk menjual model God Ginrai itu kepada seorang peminat dan pengumpul di Kajang.

“Saya memang berniat buat model ketiga, tapi watak apa belum pasti lagi.

“Mungkin Star Saber, mungkin Voltes V atau robot singa klasik Voltron, semua pun saya minat,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!