Kastam bimbang Malaysia terus jadi transit dadah

NILAI - Malaysia terus menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa untuk dijadikan sebagai lokasi transit sebelum bahan terlarang itu dihantar ke pasaran luar.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Amran Ahmad menyifatkan situasi itu agak membimbangkan dan pihaknya memandang serius mengenainya.
Menurutnya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa asing dalam membanteras penyeludupan dadah.
"Dadah ini kebiasaannya bukan untuk pasaran tempatan, tetapi dihantar ke Malaysia sebagai transit sebelum dihantar ke pasaran Eropah.
"Tujuan mereka adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa supaya aktiviti tersebut tidak dapat dikesan dan modus operandi yang digunakan juga hampir sama," katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Kampung Jijan di sini pada Jumaat.
Tambahnya, dalam serbuan Julai lalu, JKDM telah merampas lebih 722.9 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM42.82 juta dalam empat serbuan berasingan di Selangor.
Beliau berkata, rampasan terbesar membabitkan 505.6kg ketamin bernilai RM25.28 juta dari sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam, pada 21 Julai lalu.
"Serbuan itu dilakukan susulan maklumat daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
"Hasil pemeriksaan di gudang itu telah menemukan sebanyak 119 bungkusan plastik berwarna perak yang mengandungi ketulan dan serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis ketamin," katanya.
Ujarnya, dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam kotak komersial bersama bungkusan serbuk koko.
Tambahnya, seorang suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan di premis berkenaan dan telah pun didakwa di mahkamah.

Selain itu katanya, dalam operasi pada 8 Julai lalu, sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang telah diserbu dan sebanyak 160.6 kilogram bunga kanabis bernilai RM12.84 juta telah dirampas.
"Rumah tersebut di kawasan berpagar dan dikawal keselamatan dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah berkenaan," katanya.
Amran berkata, sehari sebelumnya, sebanyak 51.4kg bunga kanabis bernilai RM4.11 juta telah dirampas dalam sebuah gudang di Meru, Klang.
Jelasnya, dadah itu disembunyikan dalam kotak komersial dicampurkan bersama pes cili, lampin dan makanan kering.
"Kita juga telah menjalankan pemantauan khas ke atas satu kotak bungkusan(parcel) di Hab Antarabangsa Pos Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Julai lalu.
"Susulan pemeriksaan terhadap alamat dinyatakan dalam nota penghantaran, dua warga tempatan telah ditahan bersama bungkusan itu di kawasan Ukay, Ampang," katanya.
Ujarnya, bungkusan itu mengandungi 3.3kg MDMA dan dua kg methamphetamine bernilai keseluruhan RM587,500.
Kata Amran, empat warga asing kemudiannya telah ditahan di sebuah rumah yang dikaitkan dengan alamat pada nota penghantaran.
"Siasatan mendapati dadah itu dipercayai disembunyikan dalam ruang khas 'folder beg' yang dipercayai dihantar dari Eropah dan diisytiharkan sebagai beg tangan kulit," katanya.
Menurutnya, empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

