Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS susulan BNM kekalkan OPR

KUALA LUMPUR - Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh peningkatan sentimen selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan paras semasa Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Pada jam 8 pagi ini, mata wang tempatan itu meningkat ke paras 4.0370/0420 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0405/0445, semalam.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari semalam, BNM bertindak mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan terkini Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM ketika pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dan dinamik inflasi agak terkawal juga menunjukkan ekonomi Malaysia dalam kedudukan yang memberangsangkan.
"Ini sepatutnya dapat menyuntik sokongan kepada ringgit kerana BNM mempunyai keanjalan dari segi dasar yang boleh menjadi faktor tarikan untuk (pelabur) memegang lebih banyak ringgit,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata ringgit juga mendapat manfaat susulan kelemahan dolar AS selepas kenyataan Gabenor Rizab Persekutuan AS (Fed) Christopher Waller semalam yang mengurangkan jangkaan terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah utama negara itu dalam mesyuarat Fed pada bulan ini.
Menurutnya, ulasan Waller yang membayangkan hasrat beliau untuk menyokong bagi mengekalkan kadar faedah jika inflasi terus turun menghampiri sasaran Fed sebanyak dua peratus, telah mengasak tekanan seterusnya terhadap mata wang negara maju berkenaan.
"Kelemahan dolar AS sebaliknya memberi sokongan meluas kepada mata wang negara sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya.
Dalam pada itu berbanding mata wang utama, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.5936/5970 daripada 2.5838/5865 semalam, rendah berbanding pound Britiain kepada 5.4608/4676 daripada 5.4539/4593 dan turun berbanding euro kepada 4.6942/7000 daripada 4.6894/6940 sebelum ini.
Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama rantau ini.
Ini termasuk susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1868/1910 daripada 3.1850/1884 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2668/2898 daripada 12.2421/2598 pada penutup semalam (Khamis).
Ringgit juga kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.46/6.47, namun mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 228.3/228.7 daripada 228.5/228.8 sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
