Logistik pintar pacu pembinaan

SETIAP kali projek pembinaan seperti sekolah, hospital, jalan raya atau perumahan mampu milik mengalami kelewatan, perhatian biasanya tertumpu kepada isu kewangan, kekurangan tenaga kerja atau faktor cuaca.
Namun, satu aspek penting yang sering terlepas pandang ialah kelemahan dalam pengurusan logistik dan penghantaran bahan binaan.
Bahan binaan yang tiba terlalu awal boleh menyebabkan kawasan tapak pembinaan menjadi sesak, meningkatkan risiko kerosakan serta pembaziran.
Sebaliknya, penghantaran yang lewat akan mengganggu jadual kerja dan meningkatkan kos projek.
Keadaan ini akhirnya memberi kesan kepada kerajaan, kontraktor dan rakyat yang menunggu kemudahan awam disiapkan.
Bagi menangani cabaran tersebut, satu model matematik telah dibangunkan untuk mengoptimumkan penghantaran bahan binaan melalui konsep Vendor Managed Inventory (VMI).
Menerusi pendekatan ini, pembekal bukan sahaja bertanggungjawab membekalkan bahan, malah turut merancang kuantiti, masa penghantaran dan laluan pengangkutan yang paling cekap berdasarkan keperluan sebenar di tapak pembinaan.
Pendekatan ini berbeza daripada kaedah tradisional yang bergantung kepada pesanan kontraktor.
Sebaliknya, sistem VMI menggunakan data inventori secara masa nyata bagi memastikan bahan dihantar tepat pada masanya, dalam kuantiti yang mencukupi dan melalui laluan yang paling efisien.
Melalui pengoptimuman laluan serta penggunaan kapasiti kenderaan secara maksimum, kos pengangkutan dan penyimpanan inventori dapat dikurangkan secara serentak.
Keperluan terhadap logistik pintar semakin penting ketika Malaysia mempergiat pembangunan infrastruktur menerusi pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta agenda pembangunan mampan negara.
Dalam keadaan kos bahan binaan yang masih tinggi dan tekanan untuk meningkatkan produktiviti industri, setiap penjimatan dalam rantaian bekalan mampu memberikan kesan yang besar kepada keseluruhan kos projek.
Selain itu, sektor pembinaan juga digalakkan mempercepat usaha pendigitalan selaras dengan Construction 4.0 Strategic Plan dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Kedua-dua inisiatif ini menekankan penggunaan teknologi digital, automasi dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti industri.
Model pengoptimuman logistik membuktikan hasil penyelidikan universiti boleh diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberi nilai tambah kepada industri.
Dari sudut kelestarian, penghantaran yang dirancang secara lebih cekap mampu mengurangkan penggunaan bahan api, pelepasan karbon dan kesesakan lalu lintas di sekitar tapak pembinaan.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi negara untuk mengurangkan kesan alam sekitar serta memperkukuh amalan Environmental, Social and Governance (ESG).
Walaupun Malaysia mempunyai kepakaran yang kukuh dalam bidang logistik dan rantaian bekalan, cabaran utama adalah memastikan hasil penyelidikan dapat diterapkan dalam operasi harian industri, khususnya oleh kontraktor kelas bawahan.
Golongan ini sering berdepan kekangan modal, sumber manusia dan penggunaan teknologi yang terhad, menyebabkan banyak keputusan masih dibuat secara manual.
Oleh itu, kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, syarikat logistik dan pemain industri perlu diperkukuhkan bagi memperluaskan akses kepada teknologi yang mudah digunakan dan kos efektif.
Melalui latihan, pemindahan teknologi dan penggunaan penyelesaian digital seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan analitik data, keupayaan pengurusan logistik dapat dipertingkatkan.
Kesimpulannya, kejayaan sesuatu projek pembinaan bukan sahaja bergantung kepada reka bentuk atau kualiti struktur, tetapi juga kepada kecekapan pengurusan logistik.
Apabila penghantaran bahan binaan diurus secara lebih pintar dan sistematik, kos dapat dijimatkan, projek dapat disiapkan mengikut jadual dan pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan lebih mampan serta berkesan.
*Profesor Madya Ts Dr Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim ialah Dekan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
