Ibu, anak buru PhD bersama

Nurul Marshitah (kiri) dan Rosmawati (kanan) berpeluang menyambung PhD bersama-sama.
Nurul Marshitah (kiri) dan Rosmawati (kanan) berpeluang menyambung PhD bersama-sama.
A
A
A

SHAH ALAM -  “Kalau mak dah masuk bab tiga, saya pun kena masuk bab tiga.”

Demikian semangat yang dikongsi Nurul Marshitah Khairul Anuar, 26, bersama ibunya, Rosmawati Sahat, 49, yang kini sama-sama bergelar calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Nurul Marshitah berkata, pada awalnya mereka tidak pernah merancang untuk melanjutkan pengajian PhD secara bersama.

Namun, selepas beliau menamatkan pengajian sarjana dan ibunya menyusul kira-kira sebulan kemudian, mereka mula berbincang mengenai hasrat untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Pada asalnya, kami tidak ada sasaran untuk sambung PhD sama-sama. Tetapi selepas saya habis master dan sebulan kemudian mak pula tamat master, kami mula berbincang.

“Mak cakap dia mahu sambung PhD dan mahu memohon di universiti tempat saya belajar, iaitu UPTM,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, perkongsian Nurul Marshitah menerusia akaun @its.cyieeee yang menyambung PhD bersama-sama ibunya dalam bidang pentadbiran perniagaan tular di Threads.

Nurul Marshitah berkata, mereka kini banyak meluangkan masa bersama untuk berbincang mengenai penyelidikan, tesis dan tugasan akademik masing-masing.

Katanya, pengalaman dan latar belakang berbeza antara mereka menjadi kelebihan kerana masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri yang boleh dikongsi.

Artikel Berkaitan:

“Mak ada pengalaman bekerja selama 29 tahun, jadi dari segi pengalaman kerja, banyak yang saya boleh belajar daripada dia.

“Saya pula lebih kepada kreativiti seperti penggunaan sistem, teknologi maklumat (IT), membuat kanvas dan slaid. Jadi kami saling bertukar idea dan pendapat,” katanya.

Menurutnya, perbincangan berkaitan pengajian juga tidak terhad di universiti apabila mereka sering berbincang ketika berada di dalam kereta atau ketika keluar bersama ke kafe.

“Adakalanya, dalam kereta pun kami akan bincang mengenai tesis. Kadang-kadang pergi kafe sama-sama untuk buat perbincangan. Beli komputer riba pun sama-sama. Jadi memang banyak masa kami luangkan bersama,” ujarnya lagi.

Lebih bermakna, Nurul Marshitah berkata, peluang itu turut mengisi ruang masa yang sebelum ini agak terbatas ketika ibunya masih bekerja.

“Dulu mak bekerja dan sebagai ibu tunggal, dia tidak banyak masa dengan saya kerana sibuk bekerja.

"Jadi apabila sekarang kami dapat peluang belajar sama-sama, perkara ini lebih mengeratkan hubungan kami sebagai ibu dan anak,” katanya.

Nurul Marishita berkata, mereka juga saling memberi semangat untuk memastikan masing-masing tidak ketinggalan dalam perjalanan pengajian PhD.

“Kalau mak sudah masuk bab tiga, saya pun kena masuk bab tiga. Tidak boleh mak sudah jauh ke depan, saya masih di bab satu. Jadi kami saling bagi semangat supaya sama-sama bergerak,” katanya.

Menurutnya, mereka menyasarkan untuk menamatkan pengajian lebih awal daripada tempoh lima tahun yang ditetapkan, iaitu sekitar 2028 atau 2029 berbanding tarikh tamat dalam surat tawaran pada 2031.

“Kalau boleh kami nak habiskan dalam tempoh tiga tahun. Kami juga harap dapat buat pembentangan sama-sama, graduasi sama-sama dan kalau boleh kerja sama-sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!