Bila $1 trilion bukanlah besar di mata Tim Cook

MULAI 1 September 2026, kepimpinan Apple bertukar tangan. Tim Cook dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Apple, manakala John Ternus, yang sebelum ini merupakan Naib Presiden Perkakasan Apple, dilantik sebagai CEO baharu.
Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya apakah yang akan dilakukan oleh Ternus selaku pemimpin baharu syarikat itu.
Pada pandangan saya, adalah penting untuk beliau menjadi dirinya sendiri dan tidak perlu menjadi Steve Jobs atau Tim Cook. Setiap pemimpin mempunyai pendekatan dan gaya tersendiri, dan sudah tentu lembaga pengarah Apple melihat kemampuan yang ada pada Ternus.
Apabila bercakap tentang gaya kepimpinan, Matt Fischer, yang pernah menjadi Naib Presiden Apple Store, pernah berkongsi pengalaman beliau bekerja dengan Cook. Fischer berkhidmat dengan Apple selama 21 tahun dan berjaya membawa masuk satu bilion pelanggan ke Apple Store, selain membantu menjana jualan mencecah $1 trilion setahun.
Fischer memaklumkan bahawa ketika beliau bertanggungjawab ke atas Apple Store, beliau perlu menghantar laporan kepada Cook setiap hari Ahad. Tidak kira di mana beliau berada di dunia, laporan tersebut tetap perlu dihantar. Laporan itu mengandungi pelbagai maklumat dan ulasan berkaitan prestasi Apple Store.
Kebanyakan masa, Cook tidak memberikan sebarang respons. Kadangkala beliau meminta penjelasan lanjut mengenai metrik tertentu, dan ada kalanya beliau memuji pencapaian ahli-ahli pasukan Fischer.
Satu pengajaran yang boleh diambil oleh para usahawan dan CEO ialah bakat yang dibawa masuk ke dalam organisasi perlu diberikan ruang untuk mempamerkan prestasi mereka.
Tidak ada keperluan untuk CEO memberi komen pada setiap langkah. Apa yang lebih penting ialah kejelasan hala tuju serta pencapaian yang sentiasa dirujuk kepada perancangan yang telah dipersetujui.
Ketika Fischer ingin meninggalkan Apple, beliau sempat bertemu dengan Cook. Mereka berbual panjang tentang segala yang telah dicapai oleh Fischer sepanjang tempoh perkhidmatannya di Apple. Namun, apa yang dikatakan oleh Cook benar-benar membuatkan Fischer teruja dan gembira.
"Sebenarnya, kejayaan kamu membina ekosistem Apple Store sehingga menjana jualan sebanyak $1 trilion bukanlah pencapaian terhebat kamu. Pencapaian utama kamu ialah kemampuan membina satu pasukan yang utuh dan melahirkan pemimpin-pemimpin yang mampu menggalas tugas apabila kamu sudah meninggalkan tempat kamu," jelas Cook.
Bagi Fischer, kata-kata Cook itu membawa satu pengajaran penting tentang kepimpinan. Apabila kita menerajui sesuatu fungsi dalam perniagaan, kita perlu memahami dan menguasai apa yang berlaku serta tidak boleh bergantung kepada keadaan semata-mata.
Membina ahli pasukan dan membangunkan pemimpin baharu merupakan tanggungjawab utama setiap pemimpin. Oleh sebab tiada siapa yang mampu memegang jawatan selama-lamanya, usahawan dan CEO perlu berani menyediakan bakat yang bersedia untuk membawa perniagaan ke tahap yang lebih cemerlang.
Bukti bahawa seseorang usahawan atau CEO benar-benar menyayangi organisasi yang dipimpinnya ialah kesungguhannya membina pasukan yang mantap dan melahirkan individu yang lebih hebat untuk menerajui perniagaan apabila tiba masanya.
Dalam masa yang sama, perlu ada usaha untuk memastikan individu-individu berbakat dalam organisasi bukan sahaja dibantu dari segi pembangunan kerjaya, malah turut didorong untuk terus kekal berkhidmat walaupun terdapat pelbagai peluang di luar sana.
Jangan takut sekiranya orang yang menggantikan kita lebih hebat. Itulah legasi sebenar yang menggambarkan kehebatan seorang pemimpin dalam menyediakan perniagaannya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

