'Bukan salji tapi muatan sabun tumpah dari lori'

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Kemunculan buih di sepanjang Kilometer 30.0 hingga Kilometer 30.5 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) arah Klang ke Kuala Lumpur pada Khamis dipercayai berpunca daripada sisa muatan sabun yang jatuh dari sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 3.10 petang selepas tular di media sosial berhubung keadaan permukaan lebuh raya yang dipenuhi buih.

"Berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada sisa muatan yang jatuh dari lori yang membawa muatan sabun.

"Siasatan mendapati berlaku tumpahan sisa sabun pada 24 Ogos lalu di susur Kota Kemuning untuk masuk ke Lebuhraya Kesas arah Klang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Lebuhraya Shah Alam (Kesas) berhampiran susur Hicom dilaporkan mengalami kesesakan selepas berlaku tumpahan cecair di Kilometer 30.5 arah timur, menyebabkan permukaan jalan licin dan berbuih.

Keadaan permukaan jalan yang dilitupi cecair berwarna putih itu turut kelihatan seakan-akan salji, sekali gus menarik perhatian pengguna lebuh raya.

Menurutnya, ketika kejadian tumpahan pada 24 Ogos itu, pihak bomba telah mengambil tindakan dengan menabur serbuk kayu di sepanjang kawasan yang terjejas.

Bagaimanapun, katanya, hujan lebat yang berlaku pada Khamis menyebabkan sisa tumpahan sabun berkenaan mengeluarkan sejumlah buih sehingga meliputi jarak kira-kira 500 meter.

"Pihak konsesi lebuh raya turut mengambil inisiatif menjalankan kerja-kerja pembersihan kali kedua susulan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan dan selesai pada kira-kira jam 4.58 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!