Mayat Arif Daniel ditemukan nelayan selepas 24 jam lemas

MELAKA - Mayat remaja lelaki, Muhammad Arif Daniel Nizamuddin, 16, yang lemas ketika mencari ketam di Pantai Klebang berhampiran Pangsapuri PRIMA Klebang, di sini pada Rabu lalu ditemukan selepas lebih 24 jam hilang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, mangsa ditemukan kira-kira jam 7.20 malam, dianggarkan sejauh dua batu nautika dari daratan.
“Mangsa yang dikhuatiri lemas dipercayai telah ditemukan oleh nelayan berhampiran Pulau Upeh kira-kira jam 7.20 malam tadi. Anggaran jarak mangsa ditemukan adalah dua batu nautika dari daratan.
“Pada jam 8.30 malam, pengecaman mangsa telah dijalankan oleh pihak waris. Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan kegembiraan dua sahabat mandi di pantai berkenaan bertukar cemas selepas seorang daripadanya dikhuatiri lemas dalam kejadian pada petang Rabu.
Rakan mangsa, Hakeem Putra Mahadi, memaklumkan bahawa dia cuba membantu menyelamatkan Muhammad Arif Daniel, namun tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Mohd Shahrom berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 petang Rabu sebelum menggerakkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah serta bantuan BBP Masjid Tanah ke lokasi.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melaksanakan pencarian sebanyak dua kali menggunakan kaedah solo dive serta teknik pencarian arc pattern pada jarak 30 meter dari persisiran pantai.
“Pasukan bomba turut meneruskan pencarian di celah-celah batu di persisiran pantai,” katanya.
Beliau berkata, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 10.30 malam Rabu dan disambung semula pada jam 8 pagi Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

