Audit forensik Felda perlu menyeluruh

Rauzan (gambar kecil) berkata, audit perlu dilakukan oleh pihak ketiga yang bebas, mempunyai akses penuh kepada dokumen dan diberikan mandat yang cukup luas.
Rauzan (gambar kecil) berkata, audit perlu dilakukan oleh pihak ketiga yang bebas, mempunyai akses penuh kepada dokumen dan diberikan mandat yang cukup luas.
A
A
A

APA yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kebelakangan ini menunjukkan kesungguhan yang jelas untuk memulihkan Felda secara serius. Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan, perkembangan siasatan dan laporan mengenai Felda telah dibawa ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong, manakala Perdana Menteri sendiri turun bertemu pengurus-pengurus Felda bagi membincangkan masalah legasi, pengurusan semasa serta keperluan memperbaiki pelaksanaan di akar umbi. Cadangan audit forensik terhadap Felda juga akan dibawa ke Kabinet.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Fella telah membuka enam kertas siasatan baharu berkaitan Felda dan Felda Investment Corporation (FIC), selain satu kertas siasatan lama yang masih berjalan. Kesungguhan kali ini kelihatan berbeza. Namun, bagi memastikan usaha tersebut benar-benar menghasilkan perubahan, pengalaman Felda sejak 2018 perlu dijadikan pengajaran.

Felda bukan tidak pernah diaudit dan bukan juga tidak pernah mempunyai pelan pemulihan. Sejak 2018, Felda memperkenalkan 31 inisiatif transformasi yang melibatkan peningkatan hasil, pengurangan kos, tadbir urus dan pembangunan keupayaan organisasi.

Pada 2019, Kertas Putih Felda dibentangkan dan audit forensik dilakukan terhadap beberapa transaksi besar Felda dan FIC. Selepas itu berlaku penstrukturan organisasi, manakala Pelan Antirasuah Felda 2020 hingga 2024 mengandungi 79 inisiatif berkaitan tadbir urus, sumber manusia, perolehan dan pengurusan korporat.

Aspek kompetensi kakitangan turut dinilai. Seramai 200 petugas peringkat Pengurusan dan Profesional menjalani PEAKS Profiling, manakala kompetensi petugas kewangan dinilai menerusi Project Restart.

Proses digitalisasi kemudian diteruskan melalui RISE dan Sistem Komputer Berintegrasi 2.0 sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas sistem pengurusan serta integrasi data Felda.

Dalam tempoh yang sama, Felda turut melalui pelbagai audit, pelantikan perunding, kajian, latihan, program transformasi, penstrukturan organisasi dan pembangunan sistem baharu. Kesemua usaha ini melibatkan perbelanjaan yang besar, sekurang-kurangnya berpuluh juta ringgit dan berkemungkinan jauh lebih tinggi apabila keseluruhan kos sejak 2018 dihimpunkan.

Felda sebenarnya sudah melalui banyak proses diagnosis. Masalah dikenal pasti, kelemahan dilaporkan, sistem ditukar dan struktur disusun semula. Namun pada 2026, Felda sekali lagi berhadapan siasatan dan cadangan audit forensik.

Keadaan ini menunjukkan masalah Felda bukan semata-mata kerana kekurangan audit atau perunding. Cabaran yang lebih besar ialah memastikan dapatan dan cadangan diterjemahkan kepada perubahan sistemik yang berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu, audit forensik kali ini tidak seharusnya melihat setiap masalah secara berasingan. Pelaburan tidak boleh dilihat sebagai isu pelaburan semata-mata, hutang peneroka hanya sebagai angka hutang dan pengurusan ladang sekadar sebagai isu operasi.

FGV juga tidak boleh dipisahkan daripada Felda, begitu juga Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) daripada keseluruhan ekosistem ekonomi Felda.

Hutang peneroka merupakan contoh paling jelas. Selama ini, tumpuan sering diberikan kepada jumlah hutang peneroka dan keadaan apabila peneroka mengambil semula pengurusan ladang. Audit yang lebih menyeluruh perlu melihat bagaimana hutang itu sebenarnya terbentuk.

Audit perlu bermula daripada pengurusan tanam semula dan menilai keseluruhan proses, termasuk bahan tanaman, kontrak, kos, pelaksanaan kerja serta prestasi pengurusan sehingga pokok mula mengeluarkan hasil.

Semakan kemudian perlu diteruskan kepada model operasi ladang dan kewangan yang melibatkan kos pengurusan, prestasi kontraktor, produktiviti, hasil dan caj yang dikenakan kepada peneroka.

Jika kos terus meningkat tetapi produktiviti rendah, kesannya akhirnya akan muncul dalam paysheet dan penyata hutang peneroka. Oleh itu, audit tidak seharusnya sekadar menentukan jumlah hutang, tetapi perlu menilai sistem yang menghasilkan hutang tersebut.

Audit forensik Felda juga tidak boleh dilakukan daripada sudut akaun dan kewangan semata-mata. Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan agensi teknikal berkaitan perlu dilibatkan kerana perladangan merupakan perniagaan teras Felda.

Audit mesti mengikuti keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada bahan tanaman dan tanam semula, operasi ladang, produktiviti, penuaian, penghantaran buah, kilang, kadar perahan minyak dan jualan, sehinggalah hasil diterjemahkan ke dalam sistem kewangan serta paysheet peneroka.

Ringkasnya, audit perlu bergerak daripada benih hingga menjadi minyak.

Perkembangan di Felda Palong 7 menunjukkan kenapa pendekatan ini penting. Dari peringkat akar umbi, warga Felda sendiri telah membawa persoalan mengenai program pembangunan dan tanam semula, termasuk pembekalan, penghantaran serta kualiti anak benih, kepada SPRM.

Pada masa yang sama, dari peringkat tertinggi, Perdana Menteri dan SPRM sedang membuka semula persoalan besar mengenai pengurusan, pelaburan serta keputusan korporat Felda. Kedua-dua gerakan ini perlu dipertemukan: pembersihan dari atas dan pembetulan dari bawah.

Audit kali ini juga perlu meliputi FGV dan KPF. FGV ditubuhkan pada 2007 sebagai sebahagian daripada pengembangan komersial Felda. Sebelum penyenaraiannya pada 2012, sudah terdapat pengembangan dan pelaburan luar negara seperti Twin Rivers di Amerika Utara yang kemudiannya berdepan masalah prestasi.

Selepas itu berlaku perubahan besar terhadap struktur Felda Holdings, hubungan dengan KPF dan akhirnya penyenaraian FGV. Audit perlu menilai tujuan FGV diwujudkan, bagaimana modal Felda digunakan, prestasi pelaburan awal serta kesan perubahan struktur terhadap Felda dan KPF.

Ini penting kerana Perdana Menteri sendiri telah menyentuh keperluan Felda kembali kepada model asalnya.

Untuk menentukan bagaimana model itu boleh dipulihkan atau dibina semula, kerajaan perlu mempunyai gambaran jelas tentang bagaimana Felda Holdings dahulu menjana keuntungan, bagaimana manfaat ekonomi mengalir kepada Felda dan KPF serta apa yang berubah selepas FGV diwujudkan dan disenaraikan.

Audit forensik yang menyeluruh boleh memberikan asas data supaya usaha kembali kepada model asal mempunyai asas struktur dan ekonomi yang jelas, bukan sekadar slogan.

Audit kali ini juga perlu menilai semua usaha pembaikan sejak 2018. Semua audit terdahulu, perunding yang dilantik, program transformasi dan sistem baharu perlu disenaraikan bersama kos, dapatan serta cadangannya.

Kerajaan perlu mengetahui apa yang telah dan belum dilaksanakan serta kenapa pembaikan terdahulu belum menghasilkan perubahan berkekalan. Felda tidak boleh terus melalui kitaran sama.

Masalah berlaku, audit dijalankan, perunding dilantik, laporan disediakan, pelan transformasi diperkenalkan dan beberapa tahun kemudian audit baharu diperlukan untuk masalah yang hampir sama.

Atas sebab itu, audit forensik kali ini mesti benar-benar bebas. Pihak yang sedang diaudit tidak sepatutnya mempunyai kuasa penuh menentukan auditor, terma rujukan (Terms of Reference), perkara yang boleh diperiksa serta bagaimana dapatan akhirnya digunakan.

Audit perlu dilakukan oleh pihak ketiga yang bebas, mempunyai akses penuh kepada dokumen dan diberikan mandat yang cukup luas.

SPRM boleh menyiasat rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. MPOB serta agensi teknikal boleh menilai pematuhan dan prestasi perniagaan teras sawit. Auditor forensik pula perlu meneliti aliran wang, keputusan, kawalan, operasi dan kelemahan sistem, manakala kerajaan menggunakan keseluruhan dapatan untuk melakukan pembetulan struktur.

Jika terdapat kesalahan, individu yang bertanggungjawab perlu disiasat dan didakwa mengikut undang-undang. Namun, tindakan tidak boleh berhenti kepada individu. Sistem yang membolehkan kesalahan, kegagalan dan kelemahan itu berlaku juga mesti diperbetulkan.

Tujuan audit forensik Felda kali ini tidak seharusnya sekadar mencari berapa banyak wang yang hilang. Ia mesti mengenal pasti di mana sistem Felda rosak, bagaimana kerosakan itu berlaku dan apa yang perlu diperbetulkan supaya masalah sama tidak berulang.

Audit perlu bergerak dari kebun hingga ke Menara, daripada benih hingga menjadi minyak, serta merangkumi Felda, FGV dan KPF. Audit juga perlu menilai keberkesanan segala usaha yang telah dilakukan sejak 2018.

Harapan warga Felda terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh Perdana Menteri dan kerajaan kali ini sangat besar. Selepas bertahun-tahun melalui pelbagai audit, pelan pemulihan dan perubahan pengurusan, apa yang diperlukan sekarang ialah pelaksanaan, tindakan serta perubahan yang boleh dirasai sendiri oleh warga Felda.

Laporan dan janji sahaja tidak akan mengembalikan kepercayaan. Hanya pelaksanaan yang berkesan dan tindakan yang bersungguh-sungguh mampu mengembalikan keyakinan warga Felda serta memastikan usaha memulihkan institusi ini benar-benar berjaya.

Itulah audit forensik yang Felda perlukan.

Itulah makna sebenar usaha membina semula Felda.

*Rauzan Esa ialah generasi kedua dan ketiga Felda, Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!