512 pelajar alami keracunan selepas nikmati makanan percuma

Suasana di sebuah hospital di Sidoarjo yang merawat ratusan pelajar selepas disyaki mengalami keracunan makanan. Foto: HarianJogja
Suasana di sebuah hospital di Sidoarjo yang merawat ratusan pelajar selepas disyaki mengalami keracunan makanan. Foto: HarianJogja
A
A
A

SIDOARJO - Seramai 512 pelajar sebuah sekolah di Jawa Timur dipercayai mengalami keracunan selepas menikmati makanan menerusi program Makan Bergizi Gratis (MBG) atau Makanan Berkhasiat Percuma, menurut Badan Gizi Nasional (BGN) Indonesia.

Kejadian membabitkan pelajar Pondok Pesantren Manbaul Hikam di Tanggulangin, Sidoarjo itu berlaku pada Selasa selepas lebih 1,000 hidangan dihantar oleh pusat penyedia makanan Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG) Kalitengah.

Makanan dihantar sekitar jam 10 pagi waktu tempatan sebelum diedarkan kepada pelajar kira-kira dua jam kemudian.

Menu pada hari kejadian terdiri daripada nasi putih, telur hancur, tempe berempah, sayur kacang bersama jagung muda serta epal.

Beberapa jam selepas makan, pelajar mula mengalami simptom termasuk pening, loya, muntah, cirit-birit, lemah dan sesak nafas.

Jumlah mangsa kemudian meningkat dengan pantas sehingga memerlukan ambulans membawa mereka ke beberapa hospital dan pusat rawatan sekitar Sidoarjo.

Timbalan Pemantauan dan Pengawasan BGN, Ketut Sumedana berkata, siasatan di lapangan merekodkan sebanyak 512 individu terjejas.

Susulan kejadian itu, BGN menggantung operasi SPPG Sidoarjo Talangangin Kalitengah selama 30 hari.

BGN turut mencadangkan supaya ketua pusat penyedia makanan berkenaan diganti.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pihak kesihatan mengambil sampel makanan dan muntahan pelajar untuk diuji di makmal di Surabaya bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Keputusan ujian dijangka mengambil masa kira-kira seminggu.

Pasukan forensik polis Jawa Timur turut menjalankan pemeriksaan di dapur SPPG Kalitengah sebagai sebahagian daripada siasatan.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan jumlah mangsa yang dilaporkan pihak berkuasa.

BGN merekodkan 512 mangsa, manakala Bupati Sidoarjo, Subandi kemudian memaklumkan jumlah pelajar yang terjejas mencecah 566 orang.

Menjelang lewat Rabu, keadaan kebanyakan mangsa dilaporkan semakin pulih dengan hanya 34 pelajar masih dirawat di Hospital Islam Siti Hajar, manakala selebihnya dibenarkan pulang.

Program MBG merupakan antara program utama kerajaan Indonesia yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar bagi meningkatkan tahap pemakanan golongan muda.

Kejadian itu kini mencetuskan desakan supaya kawalan keselamatan makanan diperketat, termasuk ketika penyediaan, penyimpanan dan penghantaran makanan kepada pelajar. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!