Bencana Nepal-Tibet boleh berulang

Pemandangan dari udara menunjukkan arus deras air berlumpur mengalir melalui kawasan perumahan dan Sungai Trishuli. Foto: AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan arus deras air berlumpur mengalir melalui kawasan perumahan dan Sungai Trishuli. Foto: AFP
A
A
A

SINGAPURA - Bencana banjir dan tanah runtuh seperti yang melanda Nepal-Tibet baru-baru ini berpotensi berlaku dengan lebih kerap apabila perubahan iklim terus mempercepat pencairan glasier di kawasan Himalaya.

Pakar berkata, peningkatan suhu atmosfera menyebabkan glasier dan lapisan tanah beku kekal atau permafrost semakin tidak stabil, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan batu, ais serta banjir besar.

Pada 26 Ogos lalu, runtuhan glasier di kawasan Himalaya mencetuskan aliran deras ais, batu, lumpur dan puing yang membadai sungai sebelum merempuh jambatan, perkampungan, bandar, projek tenaga dan kenderaan di sempadan Nepal-Tibet.

Kadar kehilangan ais di rantau itu dilaporkan meningkat dengan ketara dan telah berganda sejak tahun 2000, menurut Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD).

Sebuah helikopter Tentera Nepal mencari mangsa yang hilang susulan banjir kilat. Foto: AFP
Sebuah helikopter Tentera Nepal mencari mangsa yang hilang susulan banjir kilat. Foto: AFP

Ahli seismologi Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Lai Voon Hui berkata, pemanasan atmosfera serta kesannya terhadap glasier dan permafrost berkemungkinan meningkatkan ketidakstabilan cerun di rantau berkenaan.

Pakar turut menjelaskan pengunduran glasier boleh menghilangkan sokongan terhadap dinding lembah yang curam, manakala pencairan permafrost melemahkan struktur batuan.

Air cair daripada glasier juga boleh memasuki rekahan dan seterusnya meningkatkan kemungkinan runtuhan besar batu serta ais.

Artikel Berkaitan:

Dekan Sekolah Tenaga dan Alam Sekitar Universiti City Hong Kong, Benjamin Horton berkata, bahaya utama ialah berlakunya beberapa bencana secara berturutan.

Anggota Tentera Nepal menyertai operasi mencari dan menyelamat. Foto: AFP
Anggota Tentera Nepal menyertai operasi mencari dan menyelamat. Foto: AFP

Menurutnya, runtuhan cerun boleh mengenai glasier atau tasik, menyekat sungai sebelum takungan air pecah secara tiba-tiba dan menghasilkan aliran puing berkelajuan tinggi.

“Peristiwa berantai seperti ini boleh bergerak jauh ke hilir dan menghasilkan kesan yang jauh lebih besar daripada runtuhan asal,” katanya.

Pakar menegaskan sistem pemantauan dan amaran awal perlu dipertingkatkan dengan mengambil kira risiko runtuhan batu-ais serta kemungkinan sungai tersekat oleh puing.

Bagaimanapun, Horton berkata, punca tepat yang mencetuskan bencana Nepal-Tibet masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Analisis awal satelit menunjukkan sebahagian besar glasier dipercayai terpisah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter sebelum jatuh sekitar 1,200 meter.

Impak runtuhan itu begitu kuat sehingga pada peringkat awal dikesan seperti gempa bumi sebelum disahkan sebagai kejadian seismik akibat runtuhan glasier dan aliran puing.

Pakar turut menegaskan kawasan Himalaya sememangnya terdedah kepada kejadian sedemikian kerana mempunyai cerun curam, hujan lebat, glasier yang semakin mengundur dan permafrost yang semakin merosot.

Seorang lelaki berjalan berhampiran rumah yang rosak akibat banjir kilat di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal. Foto: AFP
Seorang lelaki berjalan berhampiran rumah yang rosak akibat banjir kilat di Devighat, daerah Nuwakot, Nepal. Foto: AFP

Justeru, sistem amaran awal rentas sempadan antara negara di rantau itu dianggap penting bagi membolehkan penduduk bertindak lebih pantas sekiranya kejadian sama berulang.

Pakar turut menekankan bahawa sistem amaran awal sedia ada perlu disesuaikan untuk mengesan bencana yang berlaku secara pantas seperti runtuhan glasier dan aliran puing, bukan hanya kenaikan paras air secara beransur-ansur.

Kejadian di Nepal-Tibet dipercayai berlaku terlalu pantas dan bermula dari kawasan terpencil sehingga menyukarkan amaran disampaikan kepada penduduk tepat pada masanya.

Sejak awal 1900-an, kira-kira 60 kejadian runtuhan besar batu dan ais direkodkan di Himalaya, termasuk tragedi Chamoli di Uttarakhand, India pada 2021 yang meragut lebih 200 nyawa serta memusnahkan perkampungan dan dua projek hidroelektrik. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!