SPRM belum terima surat Saravanan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima surat daripada bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, pihaknya masih menunggu surat berkenaan dan akan menelitinya.
"Setakat hari ini, kami tidak menerima dan belum menerima surat daripada pihak berkenaan. Kita masih menunggu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan merujuk surat yang diutuskan Ahli Parlimen Tapah itu kepada SPRM atau pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian.
Ditanya mengenai individu yang didakwa sebagai 'saksi utama' yang telah meninggal dunia, Abd Halim berkata hanya pegawai penyiasat dan pegawai kanan SPRM yang berkaitan mengetahui butiran penuh mengenainya.
"Berkenaan bagaimana proses tersebut, termasuk kedudukan seorang saksi utama yang telah meninggal dunia dan sebagainya, ia lebih menjurus kepada proses penyiasatan.
"Proses penyiasatan adalah sesuatu yang sulit. Tidak ada pihak boleh mengetahui kedudukan kertas siasatan tersebut melainkan pegawai penyiasat dan pihak atasan SPRM," katanya.
Abd Halim berkata, persoalan sama ada sesuatu kes mempunyai asas kukuh untuk diteruskan ke peringkat pendakwaan adalah perkara berkaitan undang-undang.
Katanya, perkara berkenaan perlu dihujahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), peguam sebelum diputuskan oleh hakim di mahkamah.
"Saya tidak boleh beri komen apa-apa tentang perkara itu kerana ia melibatkan merit kes dan kes itu telah didaftarkan di mahkamah.
"Ia tidak boleh disentuh dengan begitu mendalam kerana merupakan perkara subjudis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
