Mahkamah Agung India tentukan status Rohingya

NEW DELHI - Mahkamah Agung India akan menentukan sama ada etnik Rohingya yang berada di negara itu perlu dianggap sebagai pelarian atau pendatang tanpa izin, satu keputusan yang dijangka memberi kesan besar terhadap masa depan komuniti berkenaan.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara India, Surya Kant berkata, status undang-undang Rohingya perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum mahkamah meneliti isu lebih luas termasuk hak, penahanan dan kemungkinan penghantaran pulang mereka.
Menurut laporan The Hindu, keputusan itu bakal menjadi asas kepada petisyen yang mencabar penahanan serta cadangan penghantaran pulang etnik Rohingya dari India.
Pihak pemohon berhujah ramai Rohingya melarikan diri daripada penganiayaan dan keganasan di Myanmar, justeru tidak sepatutnya dihantar pulang secara paksa.
Mereka turut merujuk kepada prinsip non-refoulement, iaitu larangan menghantar seseorang kembali ke negara yang boleh mendedahkan mereka kepada penganiayaan atau ancaman serius terhadap nyawa dan kebebasan.
Kerajaan India pula menegaskan individu Rohingya yang memasuki negara itu secara tidak sah tidak boleh secara automatik diberikan status pelarian.
India juga bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.
Kerajaan turut berhujah bahawa aspek keselamatan negara dan undang-undang imigresen perlu diambil kira dalam menentukan status Rohingya di India.
Keputusan Mahkamah Agung itu dijangka memberi implikasi besar kepada etnik Rohingya di negara berkenaan, khususnya mereka yang sedang ditahan atau berdepan kemungkinan dihantar pulang ke Myanmar.
Kes itu turut mendapat perhatian kerana ia boleh menjelaskan sejauh mana perlindungan undang-undang diberikan kepada pelarian di India serta kuasa kerajaan untuk menghantar pulang individu yang dianggap memasuki negara itu secara tidak sah. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

