Jambatan runtuh ketika majlis perasmian

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan jambatan itu tiba-tiba melengkung ke bawah sebelum mencetuskan suasana panik. Foto Tribun Network
Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan jambatan itu tiba-tiba melengkung ke bawah sebelum mencetuskan suasana panik. Foto Tribun Network
A
A
A

PANGANDARAN – Sebuah jambatan gantung runtuh ketika majlis perasmiannya di Desa Margacinta, Kecamatan Cijulang, Kabupaten Pangandaran, Jawa Barat pada Ahad.

Kejadian berlaku ketika Bupati Pangandaran, Citra Pitriyami bersama beberapa pegawai dan orang awam berada di atas Jambatan Gantung Pongpet Margajaya yang baru dirasmikan itu.

Jambatan berkenaan dipercayai tidak mampu menampung beban selepas puluhan individu melintasinya secara serentak.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan jambatan itu tiba-tiba melengkung ke bawah sebelum mencetuskan suasana panik.

Orang ramai yang berada di lokasi turut menjerit ketakutan ketika menyaksikan jambatan berkenaan gagal menampung beban.

Ketua Desa Margacinta, Enceng Anwar Solihin yang berada di atas jambatan ketika kejadian berkata, insiden berlaku secara tiba-tiba.

Menurutnya, beliau ketika itu bersama Bupati Pangandaran, isterinya serta beberapa pegawai lain sebelum sempat berpaut pada bahagian dinding jambatan bagi menyelamatkan diri.

“Saya sedar atau tidak ketika kejadian kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Saya berpaut pada dinding jambatan yang menggunakan tali dawai keluli. Jika tali itu putus, sudah pasti semuanya akan terjatuh ke sungai,” katanya.

Enceng berkata, antara yang berada di atas jambatan ketika kejadian ialah Bupati Pangandaran, beliau sendiri bersama isterinya, Komander Daerah Tentera (Dandim), Ketua Jabatan Kerja Raya, Ketua Jabatan Pelancongan dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ditindih orang. Pinggang saya masih sakit. Tetapi alhamdulillah, tiada mangsa, cuma mengalami kejutan. Saya sendiri masih terkejut,” katanya.

Beliau menjelaskan jambatan berkenaan sebenarnya tidak putus sepenuhnya, sebaliknya melengkung ke bawah selepas bahagian penyambung kabel besi di sebelah kanan yang menghubungkan struktur jambatan dengan tiang sokongan terputus.

“Jadi, jambatan itu tidak putus. Ia cuma terus melengkung ke bawah kerana yang terputus ialah bahagian penyambung kabel besi di sebelah kanan yang menghubungkan jambatan dengan tiang sokongan,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!