300 dron semarak Ambang Merdeka MAHA

Mohamad (tengah) mengetuai tetamu kenamaan menyaksikan pertunjukan dron yang tampil cukup berbeza dan unik. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Mohamad (tengah) mengetuai tetamu kenamaan menyaksikan pertunjukan dron yang tampil cukup berbeza dan unik. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
A
A
A

SERDANG – Langit Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bertukar kanvas cahaya apabila lebih 300 dron membentuk simbol patriotisme dan ikon sektor pertanian tempatan, sebelum laungan merdeka bergema daripada ribuan pengunjung memenuhi kawasan berkenaan.

Detik penuh warna itu menjadi kemuncak Malam Ambang Merdeka MAHA 2026 yang berlangsung meriah selepas pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular termasuk Dayang Nurfaizah, Bunkface, Syamel, Santesh serta Ito & The Blues Gang.

Semangat kemerdekaan tanah air disulam dengan keutamaan agenda keterjaminan makanan negara, menjadikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS sebagai pentas gemilang untuk rakyat meraikan detik bersejarah negara.

Pentas Utama Rhythm of the Farmers (ROTF) mula dibanjiri pengunjung seawal jam 9 malam, dengan lautan manusia daripada pelbagai latar belakang memenuhi perkarangan bagi bersama-sama menyemarakkan sambutan dalam suasana penuh warna-warni dan keharmonian.

Langit MAEPS bertukar kanvas cahaya apabila lebih 300 dron membentuk simbol patriotisme dan ikon sektor pertanian tempatan, sebelum laungan merdeka bergema. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Langit MAEPS bertukar kanvas cahaya apabila lebih 300 dron membentuk simbol patriotisme dan ikon sektor pertanian tempatan, sebelum laungan merdeka bergema. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

Majlis berprestij itu turut diserikan dengan ketibaan tetamu kehormat, antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak pada jam 9.10 malam, disusuli Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin pada 9.15 malam.

Kemuncak ketibaan tetamu kehormat disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada jam 9.20 malam.

Segmen ROTF - Night of Finale yang berlangsung dari jam 9.20 malam hingga 11.35 malam kemudian menghidupkan pentas dengan persembahan bertaraf antarabangsa dan tempatan yang bertenaga.

Artikel Berkaitan:

Santesh membuka kemeriahan dengan alunan muzik pelbagai budaya, sebelum Ito & The Blues Gang membawa penonton mengimbau nostalgia menerusi persembahan blues tempatan.

Suasana semakin hangat apabila St John's Alumni Pipe Band Malaysia (SJAPB) menggema di pentas, diikuti persembahan bertenaga Syamel dan kumpulan rock terkenal tanah air, Bunkface.

Dayang Nurfaizah pula menjadi antara tumpuan utama malam berkenaan apabila tampil memukau ribuan pengunjung menerusi tiga buah lagu hits beliau yang dinyanyikan penuh emosi dan lantang.

Kemeriahan itu turut dirasai pengunjung dari dalam dan luar kawasan yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Antara pengunjung yang hadir menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur
Antara pengunjung yang hadir menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api. Foto: Asril Aswandi Mohd Syukur

Salah seorang pengunjung, Nur Shairah Liyana Romli, 39, dari Ampang berkata, ini kali kedua beliau hadir ke MAHA dan hari kedua beliau melawat sektor tempatan dan global.

"Ini kali kedua saya datang ke MAHA dan ini hari kedua saya hadir untuk melawat sektor tempatan dan global. Hari ini perkarangan memang sangat padat dengan pengunjung berbanding semalam.

"Seronok sangat dari pagi sampai ke malam mencuba pelbagai aktiviti dan permainan. Ini juga kali pertama saya menyambut Ambang Merdeka di sini bersama keluarga dan terasa sangat teruja terutamanya untuk menyaksikan persembahan Dayang Nurfaizah dan Bunkface," katanya.

Bagi Jax Leong, 33, dari Puchong, kunjungan ke MAHA kali ini menjadi pengalaman pertama beliau membawa anak-anak dan keluarga, malah terkejut melihat skala pameran serta jumlah pengunjung yang hadir.

"Ini kali pertama saya membawa anak-anak dan keluarga datang ke MAHA. Saya terkejut melihat skala pamerannya yang begitu besar dan jumlah pengunjung yang sangat ramai.

"Kami sekeluarga paling menikmati pelbagai sajian makanan sedap di sini. Walaupun tidak berkesempatan tunggu sehingga lewat malam kerana anak perlu berehat, dapat merasai suasana sambutan meriah ini pun sudah memadai!" katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Akma ilyani Samat, 41, berkata, beliau sekeluarga memanfaatkan cuti persekolahan untuk hadir ke MAHA, selain menjadikan sambutan Merdeka di luar daerah sebagai satu pengalaman bersama keluarga.

"Kami sekeluarga memanfaatkan cuti persekolahan untuk datang ke sini. Ini tahun kedua kami menyambut Merdeka di luar daerah selepas Alor Setar tahun lepas.

"Kami membawa rombongan keluarga besar termasuk anak-anak, emak, serta adik-beradik. Anak-anak teruja nak tengok pertunjukan bunga api dan kami pula tak sabar menantikan persembahan Dayang dan Bunkface. Suasana di sini memang sangat meriah!" katanya.

Bagi pengunjung, Khalid Ali, 65, dari Serdang pula, sambutan Ambang Merdeka di pentas MAHA 2026 memberikan pengalaman patriotik yang mengagumkan apabila konsert muzik, pertunjukan dron dan laungan Merdeka bergabung dalam satu malam penuh kemeriahan.

"Sebagai penduduk yang tinggal berdekatan, kami sekeluarga tidak lepaskan peluang untuk hadir meraikan Malam Ambang Merdeka di pentas MAHA 2026.

"Gabungan konsert muzik, pertunjukan dron, serta laungan Merdeka bersama ribuan pengunjung lain memberi satu pengalaman patriotik yang amat mengagumkan buat kami anak-beranak," katanya.

Kira kira jam 11.45 malam, Mohamad dan tetamu jemputan kenamaan dijemput naik ke pentas utama pada bagi menyaksikan acara kemuncak yang paling dinantikan iaitu pertunjukan khas lebih 300 dron yang menghiasi ruang udara MAEPS ketika detik tengah malam semakin hampir.

Pertunjukan dron itu tampil cukup berbeza dan unik apabila formasi lampu berwarna-warni membentuk simbol patriotisme serta ikon sektor pertanian tempatan, sekali gus memukau pandangan lautan pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakam detik berkenaan.

Suasana kemuncak semakin memuncak pada jam 11.59 malam apabila sorakan pengiraan detik bergema daripada ribuan suara pengunjung yang menanti saat bersejarah.

Tepat jam 12 tengah malam, laungan gempita merdeka memecah keheningan malam, sekali gus menyemarakkan jiwa patriotisme warga tani dan seluruh pengunjung yang hadir.

Majlis kemudian berlabuh dengan jayanya pada jam 12.15 pagi, meninggalkan kenangan penuh warna buat ribuan pengunjung yang bersama-sama menyambut detik Ambang Merdeka di MAHA 2026.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!