'Ini mesti beranak hari Merdeka'

Dr Izamin (tiga dari kanan) bersama lapan bayi yang diraikan pada Majlis Meraikan Program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin. - Foto:HRPZ II
Dr Izamin (tiga dari kanan) bersama lapan bayi yang diraikan pada Majlis Meraikan Program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin. - Foto:HRPZ II
A
A
A

KOTA BHARU – “Ini mesti beranak Hari Merdeka.”

Demikian kata Nor Laila Che Ibrahim, 34, mengimbau kembali usikan nenek kepada bayinya, Amalina Mohd Norhafizz yang dilahirkan tepat pada Hari Kebangsaan, jam 4.59 pagi Isnin.

Amalina merupakan anak keempat Nor Laila dan antara lapan bayi Merdeka yang dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, bermula jam 12 tengah malam hingga 10 pagi bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Nor Laila bersama bayinya, Amalina yang dilahirkan pada 31 Ogos jam 4.59 pagi di HRPZ II. Foto:HRPZ II
Nor Laila bersama bayinya, Amalina yang dilahirkan pada 31 Ogos jam 4.59 pagi di HRPZ II. Foto:HRPZ II

Daripada jumlah itu, tiga merupakan bayi perempuan manakala lima lagi bayi lelaki.

Nor Laila yang merupakan suri rumah berkata, dia amat terharu dan tidak menyangka anaknya dilahirkan pada tarikh yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia.

“Sebelum bersalin, neneknya ada berseloroh... ini mesti beranak Hari Merdeka.

“Tidak sangka ia benar-benar menjadi kenyataan. Masin mulut neneknya. Akhirnya cucu lahir pada Hari Merdeka.

Artikel Berkaitan:

“Memang satu kenangan yang sangat istimewa dan akan kami ingat sampai bila-bila,” katanya pada Majlis Meraikan Program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di HRPZ II pada Isnin.

Nor Laila (kanan) menerima hadiah cenderamata daripada Dr Izamin pada Majlis Meraikan Program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin.Foto:HRPZ II
Nor Laila (kanan) menerima hadiah cenderamata daripada Dr Izamin pada Majlis Meraikan Program Sambutan Bayi Merdeka 2026 di HRPZ II, Kota Bharu pada Isnin.Foto:HRPZ II

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris berkata, Bayi Merdeka pertama di hospital berkenaan dilahirkan pada jam 12.10 pagi.

Menurut beliau, kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan merupakan detik yang istimewa bukan sahaja kepada keluarga, malah melambangkan harapan baharu kepada generasi masa depan negara.

“Setiap kelahiran merupakan satu anugerah dan membawa harapan baharu kepada sesebuah keluarga.

“Kelahiran yang berlaku pada Hari Kebangsaan pastinya memberikan nilai sentimental yang tersendiri serta menjadi kenangan bermakna kepada keluarga berkenaan,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar semua bayi yang dilahirkan membesar dengan sihat, sejahtera dan menjadi insan yang berjasa kepada keluarga, masyarakat serta negara.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Nik Unaizah Nik Abdullah, Ahli Lembaga Pelawat HRPZ II serta wakil Bank Rakyat Cawangan Kota Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!