Wanita tempuh detik cemas, gelang emas diragut

Seorang wanita kerugian RM2,000 selepas gelang emasnya diragut dua lelaki bermotosikal ketika berhenti menjawab telefon di Taman Cheras Perdana, Kajang. Gambar hiasan
Seorang wanita kerugian RM2,000 selepas gelang emasnya diragut dua lelaki bermotosikal ketika berhenti menjawab telefon di Taman Cheras Perdana, Kajang. Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila dihampiri dua lelaki bermotosikal sebelum gelang emas dipakainya diragut ketika berhenti di hadapan sebuah rumah di Taman Cheras Perdana, Batu 9 Cheras di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun berhenti di hadapan rumah berkenaan untuk menjawab panggilan telefon sebelum didatangi dua suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, seorang daripada suspek kemudian turun dari motosikal dan cuba menarik beg tangan mangsa.

"Bagaimanapun, selepas gagal mendapatkan beg tangan mangsa, suspek bertindak meragut seutas gelang emas yang dipakai pada pergelangan tangan kiri mangsa sebelum melarikan diri bersama rakannya.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.44 petang Ahad.

Katanya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran mendapati pergerakan kedua-dua suspek telah dirakam.

"Kedua-dua suspek dipercayai memakai topi keledar dengan visor gelap, manakala nombor pendaftaran motosikal yang digunakan tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

"Usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Naazron turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Aidhil Othman di talian 019-371 3937 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!