Program tanam semula sawit Palong 7 dalam radar SPRM

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit di Felda Palong 7, Wilayah Raja Alias, kini dalam perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas agensi itu menerima maklumat berkaitan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, SPRM menegaskan penerimaan maklumat itu tidak bermaksud mana-mana pihak telah melakukan kesalahan dan perkara berkenaan tidak wajar dianggap sebagai satu kesimpulan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terbabit.

SPRM berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (PERBAGI), Mohd Syahrizal Md Yusuf.

Maklumat tersebut berhubung persoalan dan kebimbangan berkaitan kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit di Felda Palong 7.

“SPRM mengambil maklum dakwaan dan kebimbangan yang dibangkitkan serta akan meneliti maklumat berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat sebarang elemen yang mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Maklumat berkenaan juga melibatkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka, termasuk perkara berkaitan pembekalan, penghantaran, penyimpanan, umur serta pematuhan spesifikasi anak benih sawit yang dibekalkan.

SPRM turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya aspek teknikal berkaitan kualiti dan pematuhan spesifikasi anak benih diperiksa oleh agensi teknikal berkaitan.

“Sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil penelitian dan maklumat yang diperoleh,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan generasi baharu peneroka Felda Palong 7 menggesa SPRM menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit yang dianggarkan bernilai antara RM70 juta hingga RM80 juta.

Artikel Berkaitan:

Wakilnya, Mohd Syahrizal menyerahkan maklumat rasmi kepada SPRM berhubung persoalan berkaitan pembekalan anak benih sawit, kos pembekalan, caj pengangkutan serta pelaksanaan kerja-kerja program tanam semula di rancangan berkenaan.

Menurutnya, program berkenaan membabitkan pertukaran tanaman getah kepada sawit melibatkan 450 peneroka dan mempunyai kepentingan besar terhadap sumber pendapatan mereka untuk tempoh panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!