'Apabila buka pintu seperti berada di dunia lain'

Keadaan jerebu tebal itu menyebabkan ramai penduduk mengalami sesak nafas dan rasa pedih pada mata. - Foto Agensi
Keadaan jerebu tebal itu menyebabkan ramai penduduk mengalami sesak nafas dan rasa pedih pada mata. - Foto Agensi
A
A
A

BANJARBARU - Jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah (Karhutla) menyelubungi beberapa kawasan di Banjarbaru, Kalimantan Selatan di Indonesia.

Keadaan itu turut mengganggu jarak penglihatan penduduk hingga mereka sukar melihat rumah jiran berhampiran.

Dua kawasan yang dilaporkan paling terjejas ialah Landasan Ulin dan Liang Anggang.

Jerebu mula menyelubungi kedua-dua kawasan itu berterusan sehingga menjelang tengah hari, menyebabkan suasana di kawasan perumahan kelihatan berkabus dengan jarak penglihatan penduduk menjadi terhad.

Penduduk Kompleks Shafwah, Landasan Ulin dikenali sebagai Dika berkata, jerebu menyelubungi seluruh kawasan perumahannya pada awal pagi.

“Jarak penglihatan mungkin hanya lima meter. Apabila buka pintu, rumah jiran sudah tidak lagi kelihatan. Seolah-olah berada di dunia lain,” katanya kepada Kompas.com pada Jumaat.

Sementara itu, penjual nasi kuning di sekitar Landasan Ulin, Nuraini memberitahu dia terpaksa berdepan keadaan jerebu itu sejak sebulan lalu terutamanya pada waktu pagi.

“Menjelang tengah hari, arah angin berubah dan jerebu bergerak ke kawasan lain,” ujarnya.

Selepas terdedah kepada jerebu selama sebulan, Nuraini berkata beliau pernah mengalami sesak nafas dan pedih mata hingga terpaksa mendapatkan rawatan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!