Rapid KL sahkan insiden penumpang terjatuh ke landasan di Stesen Gombak

KUALA LUMPUR – Rapid KL mengesahkan seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen Gombak di sini dalam insiden pada jam 9.05 pagi Khamis.
Rapid KL berkata, sejurus kejadian sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa ke landasan diputuskan sementara atas faktor keselamatan.
“Penumpang terlibat berjaya dibantu keluar dari kawasan landasan dan dibawa ke bilik kecemasan sementara menunggu ambulans tiba.
“Penumpang tersebut kemudiannya telah dibawa ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan
Terdahulu, tular di media sosial gambar seorang wanita didakwa terjatuh di atas landasan di Stesen Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dalam kejadian pagi tadi.
Gambar wanita tersebut sedang terbaring di atas landasan dimuat naik seorang pengguna di platform Threads.
Rapid KL berkata, pemeriksaan lanjut mendapati landasan berada dalam keadaan selamat sebelum operasi tren disambung semula pada jam 9.12 pagi.
“Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

