MATRADE pelawa syarikat tempatan sertai INSP MIHAS 2026

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa syarikat tempatan merebut peluang memperluaskan pasaran antarabangsa dengan mendaftar bagi menyertai International Sourcing Programme (INSP) MIHAS 2026 yang akan berlangsung sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-22 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September depan.
Program berkenaan dijangka menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 500 pembeli antarabangsa dari 55 pasaran antarabangsa telah mengesahkan penyertaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan MIHAS sebagai antara platform perdagangan halal terbesar dan paling berpengaruh di peringkat global.
Kejayaan itu dibina atas pencapaian memberangsangkan INSP MIHAS 2025 yang merekodkan nilai jualan sebanyak RM3.63 bilion, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan minat pembeli antarabangsa pada penganjuran tahun ini. INSP MIHAS 2026 merangkumi pelbagai kategori produk dan perkhidmatan termasuk hasil pertanian, pakaian dan aksesori, minuman, pendidikan, tekstil, kasut, francais, cenderamata dan barang kemas, sarung tangan, perkhidmatan kewangan Islam, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), logistik, mesin dan peralatan, pembungkusan, produk berasaskan sawit, produk haiwan peliharaan, farmaseutikal, kelengkapan penjagaan diri dan kosmetik serta makanan sedia dimakan.

Selain sektor makanan dan minuman halal yang menjadi tunjang utama, edisi kali ini turut menyaksikan peningkatan minat terhadap sektor perkhidmatan, mencerminkan perkembangan ekosistem industri halal global yang semakin pelbagai. Melalui INSP, pembeli antarabangsa yang telah melalui proses saringan akan dipadankan dengan pengeksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia menerusi sesi padanan perniagaan secara bersemuka yang dijadualkan lebih awal mengikut sektor masing-masing.
Memandangkan jumlah slot pertemuan adalah terhad dan ditentukan melalui proses padanan yang tersusun, MATRADE menggalakkan syarikat Malaysia membuat pendaftaran seawal mungkin menerusi portal dalam talian. Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Dato’ Indera Abu Bakar Yusof berkata, sejak MIHAS diperkenalkan pada 2004, INSP telah menjana lebih RM20.62 bilion nilai jualan eksport kepada syarikat Malaysia dengan penglibatan 8,000 pembeli antarabangsa, memberi manfaat kepada 10,600 penjual tempatan menerusi lebih 67,000 sesi padanan perniagaan.
Menurut beliau, bagi penganjuran tahun ini, MATRADE menyasarkan penyertaan kira-kira 500 pembeli, termasuk 50 pembeli premium, sebagai usaha menarik lebih ramai pembuat keputusan utama dan mewujudkan peluang perniagaan yang lebih berkualiti kepada syarikat Malaysia.

"Di bawah komponen INSP MIHAS 2026, kami turut menyasarkan nilai jualan eksport sebanyak RM2 bilion," katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah menerima minat daripada lebih 500 pembeli antarabangsa dari 55 pasaran antarabangsa, justeru syarikat Malaysia disaran membuat pendaftaran lebih awal bagi memaksimumkan peluang padanan perniagaan yang ditawarkan. Dalam pada itu, MIHAS 2026 dijangka menjana RM5 bilion nilai jualan keseluruhan termasuk jualan eksport menerusi INSP.
Dato’ Indera Abu Bakar berkata, kira-kira 15 peratus daripada pembeli yang menunjukkan minat merupakan peserta berulang, sekali gus membuktikan keyakinan berterusan komuniti perniagaan antarabangsa terhadap pengeksport Malaysia serta daya saing produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran global.
Pengeksport Malaysia boleh membuat pendaftaran melalui portal dalam talian INSP MIHAS serta MADANI Digital Trade Platform (MDTP) sebelum 20 Ogos 2026 bagi merebut peluang menyertai salah satu inisiatif padanan perniagaan paling berimpak dalam MIHAS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
