676 individu terima manfaat BKHT lebih RM2.9 juta - Perhilitan

Abdul Kadir
Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 676 individu menerima manfaat Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) berjumlah RM2.94 juta sejak 2024.

Inisiatif BKHT yang diperkenalkan kerajaan mulai Mac 2024 merupakan bantuan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda serta tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pada 2024, seramai 246 pemohon telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan dengan jumlah bantuan sebanyak RM987,000.

Menurutnya, tahun 2025 merekodkan seramai 314 pemohon yang menerima manfaat dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.49 juta.

"Memandangkan rekod aduan konflik manusia dan hidupan liar yang meningkat dan terdapat keperluan untuk meneruskan bantuan kepada rakyat yang terjejas, kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif BKHT pada 2026 dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

"Sehingga Julai 2026, sebanyak RM463,000 telah disalurkan kepada 116 pemohon yang layak," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan amat prihatin terhadap mangsa serangan hidupan liar, sama ada yang mengalami kecederaan mahu pun kehilangan nyawa.

Katanya, sehubungan itu, Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2004, kini dijenamakan semula sebagai Bantuan Mangsa Hidupan Liar (BMH) pada 2026 di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Jelas Abdul Kadir, inisiatif BMH merupakan bantuan kewangan secara one-off bagi meringankan beban mangsa atau waris terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan melalui NRES bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif BMH pada 2026 dengan peruntukan sebanyak RM300,000.

"Sehingga Julai lalu, sebanyak RM18,000 telah disalurkan kepada 18 pemohon yang layak," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Kadir memaklumkan, aduan konflik hidupan liar pada 2023 merekodkan sebanyak 13,669 kes, 2024 (5,492 kes) dan 2025 (13,885 kes).

"Aduan konflik bagi spesies hidupan liar yang paling tinggi antaranya kera, babi hutan, gajah, musang pandan, beruk, beruang, lotong cengkong, harimau belang dan harimau kumbang," katanya.

Sehubungan itu, masyarakat diminta melaporkan segera sebarang kacau ganggu dan konflik yang melibatkan hidupan liar dengan menyalurkan aduan melalui hotline 1-800-88-5151 atau portal e-Aduan Jabatan Perhilitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!