Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$132.1 bilion

KUALA LUMPUR - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$132.1 bilion (RM540.34 bilion) pada 31 Julai 2026 daripada AS$131.8 bilion (RM539.11 bilion) yang dicatatkan semasa 15 Julai lepas.
Bank pusat itu melalui satu kenyataan pada Jumaat berkata, kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 4.7 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing AS$116.8 bilion (RM477.76 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) yang bernilai AS$6.0 bilion (RM24,54 bilion), emas AS$5.8 bilion (RM23.72 bilion) dan aset rizab lain dalam jumlah AS$2.2 bilion (RM9 bilion). .
Bank pusat itu berkata, jumlah asetnya mencecah paras RM636.51 bilion pada 31 Julai 2026, terdiri daripada RM535.12 bilion dalam emas, aset kewangan asing, rizab lain dan SDR, RM12.68 bilion dalam kertas kerajaan Malaysia, RM1.50 bilion dalam deposit dengan institusi kewangan, RM20.83 bilion dalam pinjaman dan pendahuluan, RM4.54 bilion dalam hartanah dan peralatan serta RM61.84 bilion dalam aset lain.
Sementara itu, modal dan liabiliti BNM terdiri daripada modal RM100 juta, RM195.43 bilion dalam rizab dan RM183.05 bilion berbentuk mata wang dalam edaran.
Deposit oleh institusi kewangan berjumlah RM122.95 bilion, deposit kerajaan persekutuan pada RM8.26 bilion dan deposit lain RM85.49 bilion, manakala kertas Bank Negara berjumlah RM10.30 bilion, peruntukan SDR bernilai RM26.71 bilion dan liabiliti lain pada RM4.21 bilion.
BNM mengeluarkan data rizab antarabangsanya setiap dua minggu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
